KUCHING: Brooke Holding Sdn. Bhd. (BHSB) melakar sejarah apabila dianugerahkan Projek Platform Pengeluaran Sirung bernilai kira-kira RM1 bilion bagi PTTEP Sarawak Oil Limited (PTTEP), sekali gus menjadi projek terbesar pernah dikendalikan syarikat berkenaan.
Setiausaha Kewangan Negeri merangkap Pengerusi Brooke Holding Sdn. Bhd., Datuk Seri Wan Lizozman Wan Omar berkata, projek itu merupakan kerjasama pertama syarikat bersama PTTEP, antara pengendali huluan minyak dan gas terkemuka di rantau ini.
Menurut beliau, projek berkenaan dijangka menyalurkan hampir RM480 juta menerusi perolehan tempatan, melibatkan pembelian sepenuhnya bahan dan item kejuruteraan termasuk pakej utama seperti Penjana Turbin Gas (Gas Turbine Generators) dan Pemampat Angkat Gas (Gas Lift Compressors).
“Pada peringkat operasi, projek ini akan menggerakkan tenaga kerja, limbungan dan keupayaan industri. Keperluan tenaga kerja langsung dijangka mencecah 1,100 orang di tapak dengan tambahan 200 tenaga kerja tidak langsung dalam bidang kritikal seperti keselamatan, kualiti, pengurusan, kejuruteraan, pengimpalan, fitter serta juruteknik elektrik dan instrumentasi, mekanik, blasting serta pengecatan.
“Apabila mengambil kira tenaga kerja tidak langsung, kakitangan pejabat, subkontraktor, perkhidmatan sokongan, pengangkutan, makanan, penginapan dan aktiviti sampingan lain, projek ini dijangka menyokong kehidupan dan peluang pekerjaan kepada lebih 1,500 individu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Kontrak Platform Pengeluaran Sirung antara PTTEP dengan BHSB yang turut disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hotel Sheraton Kuching, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Lizozman berkata, dari sudut kualiti, pelaksanaan projek itu dijangka melibatkan kira-kira 13,000 Rekod Pemeriksaan dan Ujian (ITR), sekali gus mencerminkan skala kawalan serta pengesahan kualiti yang amat besar.
Katanya, Brooke Holding juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan baharu syarikat itu bagi didedahkan kepada projek kejuruteraan bertaraf tinggi menerusi pengambilan pekerja dan latihan industri.
“Oleh itu, Sirung bukan sahaja besar dari segi angka, tetapi juga besar dari segi tuntutan terhadap tenaga kerja, sistem dan keupayaan pelaksanaan kami,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, Platform Pengeluaran Sirung merupakan projek mega berskala besar, melibatkan kecanggihan teknikal serta impak signifikan terhadap industri.
“Ia memerlukan pelaksanaan yang berdisiplin, penyelarasan yang kompleks dan tahap penyampaian yang mencerminkan piawaian antarabangsa seperti yang diharapkan oleh pemilik projek.
“Apa yang menjadikan projek ini amat bermakna bukan sahaja nilai besarnya, tetapi juga bagaimana nilai tersebut akan mengalir dalam ekonomi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu Projek Sirung bukan projek rutin tetapi projek yang sangat kompleks, manakala perancangan Brooke Holding mencerminkan pelaksanaan penuh Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) melibatkan struktur dan modul luar pesisir utama termasuk jacket serta elemen proses dan utiliti, masing-masing dengan laluan kritikal kejuruteraan, perolehan dan pembinaannya sendiri.
“Dalam erti kata lain, projek ini akan menguji keupayaan Brooke dalam mengintegrasikan pelbagai sistem kejuruteraan, disiplin perancangan, urutan pembinaan, pelaksanaan projek, kesiapsiagaan limbungan, kawalan kos serta kemampuan warga kerja daripada pelbagai fungsi untuk bekerja sebagai satu pasukan.
“Pasukan kami di Brooke Holding bersama pembekal dan vendor akan berusaha menyiapkan projek ini dengan keselamatan sebagai perkara yang tidak boleh dikompromikan, kualiti sebagai disiplin teras, kawalan kos sebagai tanggungjawab dan penyiapan mengikut jadual sebagai komitmen,” tegasnya.


