KUCHING: Orang awam dinasihatkan agar membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya terdapat makanan yang dikendalikan di bazar Ramadan tidak mengamalkan kebersihan.
Adun Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin berkata, pengadu haruslah memastikan maklumat yang disampaikan mempunyai fakta yang sahih.

“Dengan itu, anggota penguatkuasa dari pihak berkuasa tempatan akan mengarahkan mereka menutup gerai dan melarang mereka berniaga.
“Bagi saya kebersihan adalah nombor satu, sebab itu kita membina Kota Sentosa Town Square,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Bazar Ramadan 2024 Kota Sentosa, di sini, hari ini.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai kaunselor selama 10 tahun menyatakan bahawa pihak penguatkuasaan sangat komited dalam menjalankan tugas bagi memastikan aduan yang diterima dapat diselesaikan dengan segera.
Terdahulu, satu perkongsian yang tular di media sosial Facebook atas nama Chelsea Amanda menyatakan ikan bakar yang dibelinya di bazar Ramadan Kota Sentosa penuh cacing.
Dalam perkongsiannya memberitahu bahawa ikan tersebut tidak dibersihkan dengan sepenuhnya dan berharap peniaga mengamalkan kebersihan.


