ARTIKEL

Budaya moden merosakkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KEPELBAGAIAN teknologi yang berjaya dibangunkan sekarang mengubah corak kehidupan manusia sehingga era dilalui sekarang dilabelkan sebagai zaman moden.

Kemodenan yang kita capai sekarang banyak mengubah dan memudahkan kehidupan seharian.

Mungkin kita belum melihat kereta terbang atau pembantu rumah robot yang mampu menggantikan tenaga kerja manusia.

Dalam beberapa aspek lebih besar, kemodenan menyebabkan runtuhnya tradisi atau budaya yang terbina sejak sekian lama kerana diganti tradisi moden yang realitinya indah khabar dari rupa.

Sekarang sekiranya ada barangan atau peralatan rosak, kita lebih mudah untuk membeli baharu daripada membaiki.

Kebanyakan kita sudah pasti pernah berhadapan situasi barangan milik kita seperti televisyen, telefon pintar, peti sejuk atau mesin basuh rosak. Pada mulanya anda berpendapat ‘daripada beli baharu, lebih baik baiki’.

Malangnya apabila anda mendapat sebut harga untuk kos membaiki, harga yang perlu dibayar membuatkan anda berkata ‘beli baharu lebih baik kalau tinggi macam ini kos membaiki’.

Sebenarnya, banyak peralatan zaman sekarang direka bentuk supaya ada had usianya.

Kita seperti diajar untuk membuang sahaja peralatan lama tanpa membaikinya.

Dalam kehidupan moden sekarang, terdapat beberapa perkara aneh atau di luar kebiasaan kita boleh berlaku.

Sekarang ini, kita mungkin boleh berdepan dengan situasi kita hilang hal ke atas pembelian digital.

Terdapat situasi di Amerika Syarikat dan Eropah, produk dibeli secara digital hilang akibat masalah pelesenan.

Produk digital seperti filem, permainan video dan lagu pernah ditarik balik daripada digunakan oleh pengguna yang sudah membuat bayaran. Menyulitkan keadaan, terdapat banyak faktor boleh menyumbang kepada masalah ini.

Selain pelesenan, faktor kos dan masalah syarikat pengendali boleh menyebabkan pembeli tidak dapat menikmati produk yang dibeli secara sah.

Apabila terjadi perkara seperti ini, tidak ada pihak tampil untuk menampung kerugian pengguna yang hilang pembelian mereka dan pengguna terpaksa reda dengan apa-apa yang berlaku melainkan menuntut di mahkamah.

Bukan itu sahaja, kehidupan di zaman moden sekarang menyaksikan kita tiada privasi dalam kehdiupan seharian.

Ada dalam kalangan kita mungkin pernah menjadi subjek perbincangan orang lain di media sosial tanpa kebenaran.

Zaman sekarang, sesiapa sahaja boleh melakukan siaran langsung untuk disiarkan di Internet tanpa mengambil kira hak dan privasi orang lain.

Ketika anda memarahi anak di restoran, mungkin gelagat anda dirakam orang lain lalu ditularkan di Internet.

Situasi anda sedang bertengkar dengan pasangan atau pergaduhan mungkin sedang disiarkan di media sosial kerana ada pihak merasakan yang mereka rakam menarik, namun ia sebenarnya membuatkan anda malu dan dikecam.

Ini menunjukkan orang ramai sudah tidak lagi hormat kepada privasi orang lain ketika berada di tempat awam.

Jika kita menegur, mereka menganggap perbuatan merakam video orang lain tanpa kebenaran merupakan sesuatu yang tidak mungkin dan sepatutnya dikongsi kepada orang ramai.

Sekarang kita lihat ramai orang menjadi iklan. Dahulu semasa kita menonton televisyen, perkara paling kita benci adalah slot iklan yang tiba-tiba muncul.

Malah pelanggan siaran televisyen berbayar turut marah apabila syarikat pengendali menyiarkan iklan

. Namun, keadaan sekarang berbeza kerana ramai dalam kalangan orang yang rapat dengan kita mungkin menjadi iklan.

Anda mungkin setiap hari mempromosikan sesuatu sama ada di TikTok atau Instagram.

Kalau kita hendak membaca atau menonton sesuatu yang dimuat naik pempengaruh, sudah pasti ada iklan.

Dunia sekarang menyaksikan hiburan menggantikan informasi.

Kita lihat banyak budaya baharu muncul akibat ledakan teknologi. Hiburan mula diangkat sehingga menggantikan informasi adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Garis pemisah antara informasi sebenar tentang sesuatu menjadi sangat kabur sehinggakan ramai antara kita mula menganggap perkara remeh sebagai sesuatu yang wajib diketahui.

Sebagai contoh, setiap hari kita perlu tahu selebriti makan apa, apa dibeli, siapa gaduh dengan siapa atau keluarga mana berpecah belah hari ini antara perkara remah yang menjadi perhatian.

Semua perkara ini sebenarnya tidak berfaedah, namun dianggap sebagai informasi wajib tahu.

Kita akan nampak kesan daripada kehidupan sekarang pada 10 hingga 20 tahun akan datang — lepasan universiti hanya mampu membincangkan isu hanya pada perkara asas.

Kita tidak mahu melihat generasi akan datang menjadi rosak akibat ledakan kehidupan moden yang diamalkan ketika ini.

Tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang kita perlu dipertahankan untuk amalan generasi kita yang seterusnya.

Tidak salah jika kita mengikuti perkembangan kehidupan terkini atau moden, namun perlu juga ada batasan bagi mengelak daripada terus terpesong atau terkeluar daripada norma kehidupan normal kita.

Kalau boleh selarikan tradisi masyarakat kita dengan kehidupan moden.

Ia penting untuk memastikan anak muda kita yang merupakan pemimpin masa depan negara masih mengamalkan nilai murni yang menjadi amalan kebanyakan rakyat Malaysia.

Kita tidak mahu melihat anak muda yang hilang hormat kepada orang lebih berusia atau tidak mengamalkan gaya hidup bekerluarga yang menjadi amalan sejak turun temurun.

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU