Buka topeng politik bantu sekolah

SARANAN agar semua wakil rakyat membantu pihak sekolah dan melupakan baju politik masing-masing khususnya ketika memuncaknya isu kegawatan kesihatan, menarik untuk dibahaskan.

Saranan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen timbul ketika beliau sempat memasuki pintu sekolah yang berada di kawasan politiknya Parlimen, Stampin.

Beliau menghulurkan sumbangan 950 topeng muka. untuk murid SJKC Chung Hua Stapok. Beliau malah turut mengagihkan 450 topeng muka masing-masing kepada dua sekolah lagi iaitu SJKC Chung Hua Syn San Too dan SJKC Chung Hua Batu Kawa.

Menurutnya, pihaknya juga dalam proses memesan 30,000 topeng muka untuk dibekalkan ke sekolahsekolah lain, juga dalam kawasan parlimen beliau.

Ketika China dan sebahagian dunia berhadapan krisis isu koronavirus 2019-nCoV termasuk Influenza A di negara ini, saranan Chieng Jen agar wakil rakyat membantu memupuk kesedaran langkah pencegahan penyebaran virus di sekolah, perlu disambut serius wakil rakyat khususnya wakil rakyat, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengaku mesra Kerajaan Persekutuan.

Sekiranya dilihat daripada isu kesihatan dan keselamatan, kehadiran wakil rakyat GPS dapat diterima “lawan politiknya”, maka sesuai dengan pegangan mesra Persekutuan, kehadiran wakil rakyat bukan kerajaan pada peringkat Persekutuan, juga sepatutnya dapat diterima sekiranya mereka membawa misi berkaitan pendidikan.

Ini tentu bukan melibatkan hanya “topeng muka”, sebaliknya ia harus menyentuh isu lain seperti isu kemanusiaan. Misalnya, jika wakil rakyat kem GPS memasuki sekolah untuk menghulurkan sumbangan untuk dana PIBG sekolah, tentulah ia mudah diterima secara rasional sebagaimana beliau memasuki sekolah atas isu kesihatan.

Usah dilihat kem politik diwakili, setiap wakil rakyat harus sedia membuka “topeng muka politiknya” dan wajar memiliki jiwa yang besar. Jangan sampai kepentingan pendidikan anak-anak di sekolah tergadai hanya kerana pemimpin politik melihat batang tubuh wakil rakyat berdasarkan undi dan ‘parti’ semata-mata.

Kita pun tidak faham, sekalipun pendaftaran layak mengundi dibenarkan automatik pada usia 18 tahun, tiada pelajar sekolah menengah yang dapat dipengaruhi oleh wakil rakyat untuk mengundi. Ini dengan mengecualikan pelajar tingkatan enam.

Adakah terlalu mudah sesebuah sekolah dipengaruhi bayangan batang tubuh wakil rakyat yang datang menjenguk sekolah mereka? Dan adakah sebegitu mudah memancing undi hanya melalui pilihan raya? Apakah, setiap kali wakil rakyat menjenguk sesebuah sekolah atas apa jua aktiviti dilakukan, maka ia memberi pengaruh kepada para guru atau ibu bapa yang membuang undi kelak, lebih-lebih lagi apabila aktiviti mereka dilaporkan media.

Demi kepentingan pendidikan anak-anak, biarlah semua wakil rakyat membuka “topeng muka politik”nya untuk membantu sekolah, bukan sekadar mengagihkan “topeng muka” ketika isu kritikal muncul.

Suara Sarawak