KUCHING: Sarawak mempunyai kekuatan dalam kekayaan sumber asli dengan mengubah cara pengeluaran kuasa hidro menggunakan air mengalir, bukannya mencipta takungan besar.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak juga memanfaatkan secara besarbesaran potensi tenaga suria terutamanya menggunakan panel solar terapung di takungan empangan hidro negeri ini.
“Perkara tersebut juga merupakan sumber boleh diperbaharui yang mesti dieksploitasi selaras matlamat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) atau Matlamat Pembangunan Sosial,” katanya menerusi perutusan Tahun Baharu Cina 2024.
Abang Johari berkata, ia bukan sahaja untuk meningkatkan ekonomi seperti yang diukur dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga untuk memberi manfaat kepada orang ramai.
“Justeru, PCDS 2030 sejajar dengan SDG dengan kemakmuran ekonomi mesti memberi manfaat kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan agama di samping memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar kita,” ujarnya.
Sementara, Abang Johari memaklumkan Sarawak terbukti mengalami pertumbuhan progresif ekonomi sejak beberapa tahun ini.
Menurutnya, perkara tersebut juga dapat dilihat apabila perniagaan, tokoh korporat, bank dan duta asing terus menghubungi sekali gus menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Sarawak.
“Sebagai Premier, apa yang saya ingin beritahu kepada rakan-rakan Cina dan rakyat Sarawak adalah persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang dalam perjalanan mencapai status negeri maju menjelang 2030.
“Dengan kestabilan politik dan kesepaduan sosial yang kita miliki, saya yakin kita boleh mencapainya kejayaan itu. Insya-Allah.
“Kita juga janganlah memikirkan perkara remeh tetapi sentiasa melihat kepada gambaran yang lebih besar untuk membolehkan Sarawak berdiri teguh sebagai kuasa ekonomi yang kukuh di Malaysia dan di rantau ini,” tegasnya.
Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan tahun lalu merupakan tahun terbaik apabila Kerajaan Sarawak mencapai beberapa kejayaan yang dirancang termasuk penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak.
“Selain itu, kita juga merekodkan pendapatan berjumlah RM13.3 bilion dan saya percaya ia akan terus meningkat tahun hadapan dan akan datang bagi memperkukuhkan ekonomi,” tegasnya.



