KE mana hala tuju anda selepas pengumuman keputusan peperiksaan keputusan SPM minggu lalu?
Kalian cemerlang?
Atau sebaliknya?
Gagal akademik tidak bermakna gagal dalam hidup, malah setiap individu mampu meraih kejayaan jika berusaha bersungguh-sungguh.
Dalam dunia tanpa sempadan hari ini setiap individu mempunyai peluang yang cukup luas untuk berjaya.
Berapa ramai pelajar yang gagal peperiksaan tetapi berjaya cemerlang dalam kehidupan?
Berapa ramai pula yang berjaya dalam hidup, malah jadi jutawan walaupun mereka pernah gagal pada zaman persekolahan.
Namun bagaimana dengan nasib segelintir pelajar yang dikatakan kurang cemerlang atau gagal memperoleh sebarang A dalam mata pelajaran.
Adakah mereka ini dianggap gagal untuk meneruskan kelangsungan hidup yang cemerlang pada masa depan?
Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, setiap individu mempunyai peluang yang cukup luas untuk berjaya.
Berapa ramai pelajar yang gagal peperiksaan tetapi berjaya cemerlang dalam kehidupan.
Justeru, calon yang gagal dalam SPM jangan terus menangis kerana di luar sana, masih banyak peluang untuk kalian.
Setiap pelajar mesti ingat kegagalan sebenar adalah gagal mengurus hidup dan mencari hala tutu kehidupan.
Kegagalan itu menjadikan proses pembelajaran hidup yang pasti menyeronokkan.
Kejayaan hidup kita bertitik tolak daripada daya usaha, peranan diri sendiri bukan sepenuhnya bergantung kepada kertas peperiksaan.
Walaupun realitinya mereka melepasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam SPM dan STPM untuk melangkah masuk ke universiti seterusnya bergelar siswazah, namun percayalah, ia bukan jaminan kita akan duduk di bilik berhawa dingin.
Ia juga bukan jaminan terus mendapat pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajaran.
Berapa ramai pelajar yang berjaya masuk ke universiti itu merupakan kelompok yang akan berjaya sesudah tamat pengajian kelak?
Hakikatnya, masih ramai pelajar lepasan universiti yang tidak mempunyai pekerjaan, ada yang bekerja di kedai kopi.
Dulu menggenggam keputusan cemerlang bermakna sudah pasti masa depan cerah atau mendapat pekerjaan hebat.
Itu dulu, namun kini semuanya berubah.
Cemerlang akademik hari ini tidak menentukan pekerjaan yang baik pada masa depan.
Masih ramai menganggur dan sukar mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka?
Walhal mereka ini boleh dikatakan antara kelompok yang cemerlang dalam akademik sebelum memasuki universiti.
Begitulah kitarannya apabila melihat seseorang yang berjaya dan cemerlang mencari ilmu tetapi jika tidak memanfaatakan ilmu tersebut ibarat pohon yang tidak berbuah.
Mereka inilah sebenarnya dianggap gagal.
Tetapi bagi seseorang yang bangkit dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki taraf hidup pendidikannya sehingga berjaya, maka dia yang dianggap berjaya dengan cemerlang.
Hakikatnya mereka gagal hari ini tidak semestinya gagal untuk selama-lamanya.
Ini kerana pendidikan di sekolah menengah itu bukanlah destinasi terakhir pendidikan formal bagi mereka.
Hari ini kita lihat berapa ramai pelajar yang dahulunya gagal SPM, namun bangkit dan berjaya dalam bidang perniagaan.
Ada yang berjaya membuka kedai makan, bengkel kereta dan berjaya dalam perniagaan.
Yang penting bagi yang gagal, jangan menganggap inilah peluang terakhir bagi mereka.
Mereka perlulah berusaha lagi dengan tekun, bersunggu-sungguh dan berterusan untuk menjadikan mereka berjaya di dunia dan akhirat.
Justeru, kecemerlangan dalam akademik sahaja masih tidak memadai.
Kecemerlangan akademik tidak sepatutnya menjadi sasaran utama pelajar secara menyeluruh tetapi bukan sesekali kita mengabaikannya, namun faktor lain yang berkaitan patut diambil kira.
Bahkan usaha ini bertujuan bukan sahaja melahirkan pelajar yang cemerlang dan berilmu, malah yang lebih penting sebenarnya perlu melahirkan lebih banyak individu yang berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia, bertanggungjawab, amanah serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Perkara inilah dianggap dapat membantu menghadapi cabaran hebat dalam kehidupan masa kini yang sangat mencabar.
Begitu juga kita perlu melihat pada masa sekarang, zaman menghafal ilmu dan memuntahkan segalanya semasa peperiksaan seharusnya berlalu.
Malah setiap pelajar mesti berupaya untuk melahirkan pemikiran yang kritis, inovatif, kreatif dan terbuka terhadap perubahan zaman.
Terbuka terhadap perubahan tidak bermakna menerima bulatbulat setiap ilmu yang datang, menjadi orang yang lurus bendul, tetapi harus bijak menilai yang mana satu ilmu yang baik dan yang buruk.
Jadi, jika kalian gagal SPM baru-baru ini, jangan terus rebah.
Bangkit semula terutamanya bagi anak Sarawak kerana Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) menawarkan pelbagai program latihan kemahiran tetapi sebagai pencipta industri.
Di negara ini, Centexs satusatunya pusat yang menjadi tempat melatih tenaga mahir dalam bidang teknikal secara percuma.
Setakat ini, Centexs berjaya melahirkan 11,000 pelajar dalam tempoh kira-kira lapan tahun beroperasi.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 5,200 dari program latihan utama, 5,800 pelatih komuniti melibatkan 250 pemain industri.
Kemahiran tambahan lain seperti pengetahuan dalam bidang teknikal sedikit banyak juga dikatakan dapat melariskan mereka dalam pasaran pekerjaan kerana ratarata masyarakat sekarang sudah memiliki kelulusan akademik yang tinggi.
Justeru, kecemerlangan diri bukan hanya diukur dengan pencapaian akademik semata-mata atau ukuran berapa bilangan A pelajar dapat tetapi yang penting pelajar itu dapat melahirkan keperibadian dan akhlak yang baik, berkemahiran seterusnya dapat menzahirkan diri sebagai umat yang hebat sepanjang zaman.
Bagi mereka yang gagal dalam peperiksaan itu bukan akan terus gagal untuk selama-lamanya.
Bangkitlah kembali dalam usaha meneruskan agenda kehidupan yang lebih mencabar bukan menangisi apa-apa yang telah berlalu.



