Selama ini, saya menyangka majlis graduasi hanya sinonim dengan institusi pendidikan, iaitu tempat pelajar diraikan selepas bertahun-tahun menuntut ilmu di universiti atau kolej.
Tidak pernah terlintas dalam pikiran bahawa dunia pekerjaan juga mempunyai detik istimewa untuk meraikan mereka yang berjaya menamatkan latihan profesional.
Tanggapan itu berubah apabila saya berpeluang menghadiri Hari Graduasi Malaysia Aviation Group (MAG) di Akademi MAG, Sepang, Selangor, pada 22 Oktober lalu.
Lebih bermakna, saya hadir bersama-sama ibu bukan sahaja untuk menyaksikan majlis graduasi itu, tetapi juga untuk meraikan pencapaian adik saya, Mohd Nazatul Aizzim, yang berjaya menamatkan latihan selama tiga bulan sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan.

Sebulan sebelum majlis berlangsung, adik sudah memaklumkan tarikh graduasinya kepada saya.
Sebagai seorang abang, sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir.
Namun, di sebalik keterujaan menyaksikan pencapaiannya, saya tidak menyangka kunjungan itu akan memberikan perspektif baharu tentang industri penerbangan dan makna sebenar perjalanan kerjaya.
Kami tiba di akademi itu sekitar jam 1.00 petang. Sebaik sahaja melangkah masuk, saya tertarik dengan reka bentuk bangunan dan kemudahan yang disediakan.
Malah, kewujudan cawangan ZUS Coffee di kawasan akademi itu turut menarik perhatian saya. Kehadirannya memberikan suasana santai di tengah-tengah persekitaran latihan profesional yang menuntut disiplin dan ketelitian.
Tepat pada jam 2.00 petang, majlis dimulakan dengan ucapan Amran Mohd Tomin, Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan MAG.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan para lepasan bahawa kejayaan menamatkan latihan bukanlah pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada perjalanan yang lebih luas dalam industri penerbangan.
Pesanan itu ringkas, tetapi cukup bermakna.
Menamatkan latihan bukan bererti seseorang itu sudah menguasai segalagalanya.
Sebaliknya, itulah permulaan untuk terus belajar, menyesuaikan diri dan membuktikan kemampuan dalam persekitaran kerja sebenar.
Saya mula menyedari pembelajaran tidak semestinya berakhir apabila seseorang meninggalkan bangku sekolah atau universiti.
Dalam industri penerbangan yang menuntut ketepatan, disiplin dan tanggungjawab tinggi, latihan merupakan sebahagian daripada proses membentuk individu yang bersedia memikul tanggungjawab pekerjaan.
Lebih menarik, majlis itu menghimpunkan lepasan daripada pelbagai bidang dalam industri penerbangan, termasuk juruterbang, kru kabin dan kakitangan khidmat pelanggan.
Melihat mereka diraikan dalam majlis sama memberikan gambaran kejayaan sesebuah organisasi bukan sahaja bergantung pada satu kelompok pekerja, tetapi juga pada kerjasama semua pihak yang memainkan peranan masingmasing.
Sebagai penumpang, kita mungkin lebih mudah memberikan perhatian kepada juruterbang yang mengendalikan pesawat atau kru kabin yang menyambut kita ketika menaiki pesawat.
Namun begitu, pengalaman perjalanan yang baik turut bergantung pada kakitangan lain yang mengendalikan pertanyaan, menyelesaikan masalah dan memastikan keperluan penumpang diberikan perhatian sewajarnya.
Di sebalik setiap penerbangan, terdapat ramai individu yang bekerja untuk memastikan perjalanan berlangsung dengan lancar.
Setiap tugas mungkin berbeza, tetapi semuanya saling melengkapi.
Selesai majlis, adik membawa saya dan ibu melihat sekitar akademi.
Saya berpeluang melihat sudut pameran yang memaparkan perubahan pakaian seragam kru kabin sejak awal penubuhan syarikat penerbangan itu.
Perubahan reka bentuk pakaian tersebut bukan sekadar menggambarkan perkembangan fesyen, malah mencerminkan perjalanan panjang sebuah jenama dalam membina identitinya.
Turut dipamerkan bahan bacaan dan maklumat sejarah tentang pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan industri penerbangan, termasuk tragedi MH17 dan kehilangan pesawat MH370.
Paparan itu mengingatkan saya bahawa di sebalik kemajuan teknologi dan keindahan dunia penerbangan, terdapat juga kisah kehilangan, kesedihan dan pengajaran yang tidak seharusnya dilupakan.
Dalam pada itu, peluang menyaksikan kru kabin menjalani latihan turut memberikan pengalaman berharga.
Selama ini, kita melihat mereka bertugas dengan kemas dan profesional ketika berada di dalam pesawat.
Namun, tidak semua penumpang berpeluang menyaksikan sendiri persediaan yang dilakukan sebelum mereka menjalankan tanggungjawab tersebut.
Sebagai wartawan, saya terbiasa melihat sesuatu peristiwa melalui sudut berita, fakta dan kisah manusia yang boleh dikongsikan kepada pembaca.
Namun, kali ini pengalaman itu terasa berbeza.
Saya bukan sekadar pemerhati yang ingin memahami industri penerbangan, malah seorang abang yang menyaksikan sendiri adiknya melangkah ke fasa baharu dalam kehidupannya.
Hakikatnya, perjalanan Aizzim dalam dunia penerbangan sudah bermula sejak zaman kanak-kanak.
Dia gemar melukis kapal terbang dan sering mengajak ayah melihat kapal terbang berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada setiap hujung minggu.
Semasa bersekolah, dia juga banyak menghabiskan masa bermain simulator penerbangan kerana bercita-cita untuk menjadi juruterbang.
Melihatnya kini bekerja dalam industri yang diminatinya sejak kecil membuatkan saya berasa bangga.
Walaupun kerjaya yang diceburinya hari ini berbeza daripada impian asal, dia tetap berpeluang menjadi sebahagian daripada dunia penerbangan yang sekian lama menarik minatnya.
Daripada pengalaman itu, saya belajar perjalanan untuk mencapai impian tidak semestinya mengikut laluan yang dirancang.
Adakalanya, kehidupan membawa kita ke arah yang berbeza daripada jangkaan.
Namun, perubahan laluan tidak semestinya bermaksud kita tersasar.
Sebaliknya, mungkin itulah jalan yang membuka peluang baharu untuk kita berkembang.
Bagi saya, perkara yang lebih penting bukanlah sejauh mana seseorang berjaya mengikut perancangan asalnya, tetapi sejauh mana dia bersedia menerima peluang, belajar daripada pengalaman dan terus melangkah ke hadapan.
Sebagai seorang abang, saya berharap Aizzim terus cekal, merendah diri dan tidak berhenti menimba ilmu.
Saya juga berterima kasih kepada MAG kerana memberinya peluang untuk memulakan kerjaya dalam industri yang diminatinya.
Akhirnya, pengalaman menghadiri Hari Graduasi MAG mengajar saya kejayaan bukan sekadar diukur melalui sijil, pentas atau tepukan ketika seseorang diraikan.
Lebih daripada itu, kejayaan terletak pada keberanian untuk memulakan langkah pertama dan kesungguhan untuk meneruskan perjalanan walaupun masa depan belum sepenuhnya terungkap.
Pada hari itu, saya hadir untuk meraikan graduasi adik. Namun, saya pulang dengan satu pengajaran yang lebih besar:
Kadangkala, kebahagiaan bukan terletak pada kejayaan kita sendiri, tetapi pada kesempatan menyaksikan orang yang kita sayangi semakin hampir kepada impiannya.



