ARTIKEL

Screenshot

Cape Verde ukir sejarah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Jika ada satu pasukan yang benar-benar mencuri tumpuan peminat bola sepak dunia pada Piala Dunia 2026, nama itu bukan semestinya Argentina, Sepanyol atau Brazil, sebaliknya Cape Verde.

Pada peta dunia, negara kepulauan kecil di luar pantai Afrika Barat ini mungkin mudah terlepas pandang.

Jumlah penduduknya sekitar setengah juta orang, manakala keluasan negaranya tidak sebesar banyak negeri lain di dunia.

Namun, di pentas bola sepak paling berprestij, Cape Verde membuktikan satu perkara penting: saiz negara bukan ukuran keberanian.

Piala Dunia 2026 menjadi pentas kelahiran sebuah kisah dongeng moden.

Cape Verde hadir sebagai pasukan debutan, namun pulang sebagai pasukan yang dihormati. Mereka mengikat Sepanyol, seri dengan Uruguay dan Arab Saudi sebelum mara ke pusingan kalah mati.

Kemudian, dalam pertemuan menentang juara dunia, Argentina, mereka memaksa Lionel Messi dan rakan-rakan berhempas-pulas sehingga masa tambahan sebelum tewas tipis 3-2.

Kekalahan itu tidak memalukan. Sebaliknya, kekalahan tersebut mengangkat martabat Cape Verde.

Apa-apa yang dilakukan pasukan ini bukan sekadar kejutan sementara.

Ia merupakan hasil projek panjang yang dibina dengan kesabaran, pengalaman pahit dan kepercayaan terhadap identiti sendiri.

Lebih sedekad lalu, Cape Verde pernah hampir mencipta sejarah dalam kelayakan Piala Dunia 2014.

Mereka menewaskan Tunisia dan berada di ambang pusingan play-off Afrika, namun kemenangan itu dibatalkan oleh FIFA kerana isu teknikal membabitkan status pemain.

Bagi negara kecil, episod seperti itu mampu mematahkan semangat.

Namun, Cape Verde memilih untuk tidak tunduk kepada kekecewaan. Mereka membina semula bola sepak negara dari akar umbi, bukan dengan wang besar, tetapi melalui perancangan, diaspora dan rasa memiliki.

Untuk memahami kekuatan Cape Verde, kita perlu memahami sejarah bangsanya. Negara ini lahir daripada kepulauan yang pernah menjadi persinggahan penting antara Afrika, Eropah dan benua Amerika.

Selepas era penjajahan, kemarau, tanah yang kering serta kekurangan peluang menyebabkan ramai rakyatnya berhijrah ke luar negara.

Hari ini, diaspora Cape Verde di seluruh dunia lebih ramai daripada jumlah penduduk yang tinggal di tanah air sendiri. Ironinya, keadaan itulah yang menjadi kekuatan utama bola sepak mereka.

Cape Verde mula mencari pemain berdarah negara itu di Portugal, Belanda, Perancis, Ireland dan pelbagai negara lain.

Mereka bukan hanya mencari pemain, tetapi juga mencari jiwa yang mahu pulang kepada akar asal keluarga. Di sinilah peranan Bubista menjadi amat penting.

Bekas kapten pasukan kebangsaan itu benar-benar memahami kepahitan menjadi pemain Cape Verde ketika negara berkenaan masih dianggap kerdil.

Ada ketika mereka tidak mempunyai kelengkapan yang sempurna untuk mewakili negara. Namun, selepas menjadi jurulatih, Bubista membina satu falsafah yang jelas: Cape Verde mesti bermain sebagai sebuah keluarga.

Beliau mewajibkan pemain menggunakan bahasa Creole Cape Verde ketika bersama-sama pasukan. Tidak kira sama ada seseorang itu lahir di Lisbon, Rotterdam, Paris atau Dublin, apabila menyarung jersi Cape Verde, mereka perlu merasakan bahawa mereka sedang pulang ke rumah.

Kisah Pico Lopes antara contoh yang paling menarik. Dilahirkan di Dublin, Ireland, beliau pada awalnya dihubungi oleh pihak pasukan kebangsaan Cape Verde melalui LinkedIn.

Oleh sebab tidak memahami bahasa Portugis, mesej itu disangkanya sebagai spam. Hanya selepas mesej tersebut diterjemahkan menggunakan Google Translate, barulah beliau menyedari bahawa mesej itu ialah jemputan rasmi untuk mewakili negara asal keluarganya.

Dalam dunia bola sepak moden yang sarat dengan teknologi analisis, data raya dan rangkaian pencari bakat bernilai jutaan ringgit, kisah LinkedIn itu kedengaran hampir lucu.

Kemudian, muncul nama-nama seperti Ryan Mendes, Logan Costa, Steven Moreira, Jovane Cabral, Deroy Duarte, Sidny Cabral dan penjaga gol veteran, Vozinha. Mereka datang daripada latar belakang yang berbeza, tetapi disatukan oleh bendera yang sama.

Vozinha pula mempunyai kisah tersendiri. Sebelum Piala Dunia 2026, namanya mungkin hanya dikenali oleh peminat setia bola sepak Afrika.

Namun, aksi luar biasanya, terutama ketika menentang Sepanyol, mengubah beliau menjadi fenomena global. Jumlah pengikut media sosialnya melonjak dengan mendadak, malah beliau dilihat sebagai antara wajah paling ikonik kejohanan itu.

Itulah keajaiban Piala Dunia. Seorang penjaga gol dari sebuah negara kecil mampu menjadi bintang dunia hanya kerana keberaniannya berdiri di hadapan gergasi bola sepak.

Cape Verde mungkin sudah tersingkir, namun mereka tidak pulang sebagai pasukan yang gagal.

Sebaliknya, mereka pulang sebagai simbol bahawa bola sepak masih mempunyai ruang untuk kisah-kisah yang menyentuh nilai kemanusiaan.

Dalam era kelab kaya, kontrak lumayan dan industri bola sepak yang semakin komersial, Cape Verde mengingatkan kita bahawa semangat, identiti dan perancangan jangka panjang masih mampu menggugat kuasa besar.

Mereka bukan sekadar pasukan kecil yang bernasib baik.

Mereka ialah hasil daripada usaha yang penuh kesabaran selama hampir dua dekad, diaspora yang dipanggil pulang, jurulatih yang memahami jiwa bangsanya serta pemain yang percaya mereka membawa lebih daripada sekadar jersi.

Cape Verde mengajar dunia bahawa dalam bola sepak, yang kecil tidak semestinya lemah. Kadang-kadang, yang kecil itulah yang paling besar jiwanya.

BERITA LAIN

JEREBU ganggu rutin harian

J EREBU yang semakin memburuk di beberapa kawasan Sarawak bukan lagi sekadar menjejaskan jarak penglihatan, malah mula memberi kesan terhadap rutin harian masyarakat apabila aktiviti luar

Utusan Sarawak universiti kami

PADA 28 Februari lalu, akhbar Utusan Sarawak mengakhiri hayat cetaknya, setelah lebih 30 tahun beroperasi. Akhbar ini mula diterbitkan pada 16 Januari 1949 oleh Tan

BERITA TERBARU