ARTIKEL

JEREBU ganggu rutin harian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

J EREBU yang semakin memburuk di beberapa kawasan Sarawak bukan lagi sekadar menjejaskan jarak penglihatan, malah mula memberi kesan terhadap rutin harian masyarakat apabila aktiviti luar dan beberapa acara berskala besar terpaksa ditangguhkan demi keselamatan awam.

Keadaan itu wajar dipandang serius kerana pendedahan berterusan kepada udara tercemar boleh memberi kesan kepada kesihatan, terutama kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan.

Situasi berkenaan turut menyebabkan Program Sarawakku Sayang (SKS) di Mukah yang dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos ini ditangguhkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat.

Selain program berkenaan, Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang dijadualkan pada 30 dan 31 Ogos di Kapit serta Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Rumah Mendit Penom di Spaoh pada 1 September turut ditangguhkan. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga dengan mengambil kira keadaan semasa serta keutamaan terhadap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan orang ramai.

Beliau berkata, majlis atau aktiviti yang diadakan di luar bangunan dan membabitkan kehadiran orang ramai juga disaran ditangguhkan pada tarikh yang bersesuaian sehingga keadaan kualiti udara bertambah baik. Langkah berkenaan memperlihatkan bahawa ancaman jerebu tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan acara yang menghimpunkan ribuan pengunjung pada satu-satu masa.

Program Sarawakku Sayang di Mukah, misalnya, dirancang sebagai platform yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, aktiviti kemasyarakatan, keusahawanan, sukan dan program untuk masyarakat setempat.

Sebelum ini, Dataran Pehin Setia Raja Mukah dikenal pasti sebagai lokasi penganjuran program berkenaan dengan pelbagai persiapan dilaksanakan oleh agensi kerajaan bagi memastikan kelancaran acara.

Penangguhan itu, bagaimanapun, tidak seharusnya dilihat sebagai kegagalan penganjuran, sebaliknya satu keputusan bertanggungjawab bagi mengutamakan kepentingan orang ramai ketika keadaan cuaca dan kualiti udara tidak mengizinkan.

Berdasarkan bacaan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat Sabtu lalu, sepuluh kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Serian mencatatkan bacaan tertinggi, iaitu 190, diikuti Kuching dengan 182, Samarahan 177, Sarikei dan Sri Aman masing-masing 173, Sibu 161, Bintulu 157, Samalaju dan Mukah masing-masing 156 serta Miri 151.

Bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, yang menunjukkan bahawa sebahagian besar kawasan yang terjejas ketika ini memerlukan langkah berjagajaga bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.

Keadaan di Mukah juga perlu diberi perhatian apabila daerah itu merekodkan bacaan IPU sebanyak 156, sekali gus meletakkannya dalam kategori tidak sihat bersama beberapa kawasan lain di Sarawak.

Jerebu lazimnya berlaku apabila asap daripada pembakaran terbuka, kebakaran hutan atau kawasan gambut terperangkap dalam atmosfera, terutama ketika cuaca panas dan kering serta keadaan angin yang kurang membantu menyebarkan bahan pencemar.

Partikel halus yang terkandung dalam asap jerebu boleh memasuki sistem pernafasan dan menyebabkan pelbagai gangguan kesihatan, termasuk batuk, sakit tekak, hidung berair, mata pedih dan kesukaran bernafas.

Golongan yang mempunyai masalah kesihatan tertentu perlu lebih berhati-hati kerana pendedahan kepada udara tidak sihat berpotensi memburukkan keadaan kesihatan sedia ada.

Dalam keadaan seperti ini, orang ramai disaran mengurangkan aktiviti luar, terutama aktiviti lasak dan kegiatan yang memerlukan tempoh yang lama di kawasan terbuka.

Penganjur program pula perlu sentiasa mengambil kira bacaan IPU dan keadaan cuaca sebelum meneruskan sebarang aktiviti yang melibatkan orang ramai.

Tindakan menangguhkan acara besar seperti Program Sarawakku Sayang di Mukah membuktikan aspek keselamatan perlu menjadi keutamaan walaupun persiapan penganjuran sudah dilakukan lebih awal.

Pada masa sama, masyarakat perlu memainkan peranan dengan mengelakkan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan jerebu, selain melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa.

Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keadaan jerebu tidak berlarutan dan kembali menjejaskan kehidupan harian masyarakat, ekonomi setempat serta pelbagai aktiviti yang telah dirancang.

Justeru, agensi berkaitan juga perlu meneruskan pemantauan keadaan cuaca dan kualiti udara dari semasa ke semasa bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya keadaan bertambah buruk.

BERITA LAIN

Cape Verde ukir sejarah

Jika ada satu pasukan yang benar-benar mencuri tumpuan peminat bola sepak dunia pada Piala Dunia 2026, nama itu bukan semestinya Argentina, Sepanyol atau Brazil, sebaliknya

Utusan Sarawak universiti kami

PADA 28 Februari lalu, akhbar Utusan Sarawak mengakhiri hayat cetaknya, setelah lebih 30 tahun beroperasi. Akhbar ini mula diterbitkan pada 16 Januari 1949 oleh Tan

BERITA TERBARU