LAWAS: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas petang semalam menerima panggilan daripada orang awam tentang pokok tumbang.
Menurut satu kenyataan BBP Lawas yang dikeluarkan oleh komander operasi hari ini, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian yang terletak 46 kilometer dari balai, didapati sebatang pokok telah tumbang di jalan utama Kampung Long Tengoa sehingga tidak dapat dilalui kenderaan.
“PKO segera bertindak memotong dahan pokok tersebut kepada bahagian yang lebih kecil dengan menggunakan tiga unit gergaji berantai (chain saw) dan dua bilah parang, seterusnya mengalihkan bahagian yang telah dipotong itu ke tempat selamat sehingga laluan tersebut boleh digunakan semula,” kenyataan itu menyebut.
Empat anggota PKO di bawah penyelia bertugas, PBK II 11299 Mazrom Ampahon, kembali ke balai setelah memastikan keadaan selamat bagi pengguna jalan berkenaan.







