ARTIKEL

Bukan masa sesuai perkenal semula GST – Steven Sim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempertikaikan kelemahan atau kekuatan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya kesesuaian waktu untuk melaksanakannya semula, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan berikutan negara masih lagi berdepan fasa pemulihan ekonomi pasca COVID-19 dan pelbagai cabaran ekonomi global akibat pergolakan geopolitik, negara masih belum bersedia untuk melaksanakan GST.

“Ini bukan satu perbincangan dari segi kekuatan atau kelemahan sistem percukaian GST… tetapi kesesuaian.

Kita perlu melakukan perkara yang betul pada masa yang betul. Kalau lakukan perkara betul tetapi pada masa salah, maka akan memberi beban kepada rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen, hari ini.

Menurut Sim, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi melihat kesesuaian dan penambahbaikan sistem percukaian sedia ada seperti cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

Beliau berkata, kerajaan perlu melihat pelbagai aspek sebelum mempertimbangkan keputusan untuk melaksanakan sebarang dasar percukaian antaranya struktur keseluruhan sistem percukaian negara sedia ada dan batasannya, ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan, kedudukan ekonomi semasa, keperluan hasil kerajaan dan taraf hidup rakyat serta kesediaan rakyat.

Berkenaan pengenalan cukai karbon, Sim berkata sebarang pengenalan cukai baharu perlu dikaji dengan teliti untuk mengambil kira kesannya, bukan sahaja kepada aktiviti ekonomi, malah kepada kehidupan rakyat.

“Oleh itu, kerajaan buat masa ini tidak ada keputusan untuk melaksanakan cukai karbon.

Namun, Kementerian Kewangan sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan cukai karbon sebagai antara instrumen harga karbon bagi menyokong aspirasi negara untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau seperti yang diumumkan dalam RMK-12,” katanya.

Beliau berkata kajian itu juga merangkumi proses penandaarasan dengan mengenal pasti amalan terbaik yang telah dilaksanakan di negara-negara maju berhubung pelaksanaan cukai karbon.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai