ARTIKEL

Bukan perubahan kosmetik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA 2 April 2023 lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, belum ada permohonan rasmi daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai rundingan penggunaan istilah ‘wilayah’ dan ‘negeri’ bagi kedua-dua negeri ini.  

Beliau mengakui penting untuk mendengar pandangan kedua-dua kerajaan mengenai isu berkenaan.

Penggunaan istilah wilayah itu perlu dilihat dalam konteks undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan mengenai status sebenar Sabah dan Sarawak.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis bersama kepimpinan masyarakat di Kuching pada 2021 telah menggunakan istilah wilayah Sarawak bagi menggantikan negeri. 

Semua pihak pun teruja dengan pengumuman itu, tetapi hakikatnya, tiada banyak makna kerana kedudukan Sabah dan Sarawak tidak berubah selagi belum dibentangkan dan diluluskan di Parlimen, dan kemudiannya diwartakan.

Maksudnya, Sabah dan Sarawak tetap terus tersenarai sebagai dua daripada 13 negeri dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Sebagai salah satu daripada tiga wilayah Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dimasukkan ke dalam Perkara 160 (2) perlembagaan. 

Untuk meminda perlembagaan, sudah pasti memerlukan sokongan daripada ahli parlimen di Semenanjung, termasuk daripada PAS dan Bersatu?

Mungkinkah mereka mahu menyokong perubahan itu atau mereka akan menjadi tembok penghalang? Jika semua pihak komited dan ikhlas dalam merealisasikan hasrat itu, tidak ada sebab untuk mereka tidak menyokong? 

Seyogia diingatkan ketika Persekutuan Malaysia hendak dibentuk menjelang tahun 1963, Sabah dan Sarawak merupakan dua entiti politik bebas, sama dengan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu.

Namun Singapura keluar dari Malaysia pada 1965 manakala Sarawak dan Sabah terus kekal dalam Malaysia sehingga hari ini. Banyak kontroversi dan persoalan timbul berkaitan dengan isu wilayah dan negeri? 

Adakah Sarawak dan Sabah satu daripada tiga atau satu daripada 13 negeri?

Bagi rakyat, pemimpin dan aktivis politik di Sabah dan Sarawak, mereka mahu dianggap sebagai wilayah atas justifikasi, ia merupakan entiti politik bebas sebelum pembentukan Malaysia.

Sebaliknya, bagi pemimpin politik dan kuasa di pusat, meskipun menerima hakikat Sabah dan Sarawak ialah negeri pengasas dalam Persekutuan Malaysia, namun apabila sama-sama membentuk Malaysia, maka ia perlu ditakrif atau dikategorikan sebagai negeri, seperti juga 11 negeri lain di Semenanjung. 

Masalah sebenarnya timbul selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan dilakukan pada 1976 apabila Perkara 2 diubah dengan tidak lagi mengasingkan negeri Borneo berkenaan, iaitu Sabah dan Sarawak di bawah Artikel 2(b).

Sebaliknya, selepas pindaan yang dipersetujui oleh pemimpin politik dan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak ketika itu, maka, ia dibariskan bersama-sama dengan negeri lain dari Semenanjung mengikut urutan abjad. 

Pada 4 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin sekarang perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63 selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu. 

Memang penting untuk akur dan mengotakan apa-apa yang terkandung dalam MA63 jika kita mahu negara ini terus dapat bergerak ke hadapan sebagai negara persekutuan yang progresif, stabil dan adil.

Sudah tentu ini termasuk semangat dan tujuan asal Malaysia ditubuhkan.

Isu ini sebenarnya terbuka kepada pelbagai tanggapan dan tafsiran sesuai dengan pendirian dan sudut pandangan masing-masing.

Ada yang bertanya, apakah kebaikan dan implikasinya jika status wilayah sudah diwartakan?

Tidak harus ada mana-mana negeri mempunyai tanggapan mereka didiskriminasikan atau dilayan sebagai anak tiri. Sebarang bibit perpecahan harus dielakkan.

Justeru, hubungan harmoni antara Kkerajaan di Sabah dengan Putrajaya amat penting.

Kedua-dua pihak perlu berjalan seiring dan sejalan. 

Jika tidak, jurang yang sedia wujud dari segi politik, sosial, ekonomi dan pembangunan prasarana akan terus melebar.

Jurang yang semakin melebar tidak baik untuk masa depan negara dan pembinaan negara bangsa.

Memang ada keraguan kerana pasti ada pihak yang menyamakan Sabah dan Sarawak dengan wilayah persekutuan seperti Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Hakikatnya, istilah wilayah dapat ditafsir dan diberi maksud yang pelbagai.

Tetapi dalam konteks Perlembagaan, wilayah yang dimaksudkan itu merujuk kepada region. 

Jadi, kedudukan Sarawak dan Sabah tidak boleh disamakan dengan wilayah seperti Labuan yang tarafnya tentu lebih rendah daripada Sarawak dan Sabah. 

Ketika ini, Perkara 160(2) merujuk kepada persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, dan bukannya MA63.

Justeru, ia memerlukan pindaan terhadap perlembagaan bagi mengiktiraf Sarawak secara sah sebagai wilayah Malaysia. 

Pengiktirafan melalui pewartaan itu akan meletakkan kedudukan Sabah dan Sarawak di tingkat lebih tinggi berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

Jadi yang dimaksudkan dengan ‘wilayah’ adalah dalam konteks pembentukan Malaysia yang menggabungkan tiga wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. 

Pindaan istilah Sarawak dan Sabah sama ada menggunakan negeri atau wilayah, juga perlu dirujuk kepada RajaRaja Melayu.

Wilayah bukan sekadar istilah untuk membezakan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain di Semenanjung, sebaliknya tentang perkongsian sama taraf antara tiga entiti iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Mungkinkah ini akan menguatkan lagi kesatuan negara dan integrasi nasional dalam konteks pembinaan negara. 

Perubahan status bukan hanya memberi implikasi Sabah, Sarawak dan Semenanjung perlu disebut sedemikian tanpa menyebut negeri bagi menepati maksud bahawa ia setaraf dengan Semenanjung.

 Rakyat Sarawak dan Sabah hanya akan menerima perubahan istilah itu sekiranya ia turut mencerminkan perubahan dalam dasar Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak.

Jika tidak, ia hanyalah perubahan bersifat kosmetik yang tidak menguntungkan rakyat dan tidak membawa banyak makna. 

Dari segi belanjawan umpamanya, harus ada komitmen politik untuk menyalurkan peruntukan yang lebih banyak kepada Sarawak dan Sabah, sesuai dengan statusnya sebagai wilayah.

 Persoalannya, adakah Putrajaya, khususnya Anwar Ibrahim punya komitmen politik dan keberanian untuk berbuat demikian? 

Sarawak dan Sabah bertekad mahu mengubah nasib rakyatnya, dengan menghapus kemiskinan, menyediakan prasarana dan kemudahan asas, air elektrik, klinik, hospital, sekolah dan sebagainya dalam usahanya menuju negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030.  

Menjadi komitmen Kerajaan GPS di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mempertahankan hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia selaras dengan MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, serta Perlembagaan Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan

. Perkara ini terkandung dalam Teras 2 Manifesto GPS dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang berteraskan tema “Menjamin Sarawak Stabil, Maju, Makmur.”.

Perubahan status berkenaan perlu diterjemahkan dalam bentuk peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak.

Jika tidak, tidak hairan akan ada pihak yang akan menyifatkannya sekadar perubahan kosmetik. Sarawak dan Sabah harus dilayan dengan lebih adil dan saksama.

 Dalam hubungan ini, keputusan Anwar turut mengumumkan jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dikaji setiap lima tahun agar lebih munasabah perlu dihargai.

Sebanyak RM300 juta disalurkan untuk Sarawak pada tahun 2023 dan angka itu juga dikekalkan untuk tahun depan.  

Beliau juga bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di kedua-dua negeri diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.

Bagi saya, ingatan mantan Timbalan Premier Sarawak mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing yang terkenal dengan kelantangannya bersuara harus diimbas kembali.

Beliau pernah mengemukakan soalan: “Adakah Sarawak satu daripada 14 negeri atau satu daripada empat wilayah yang memeterai Perjanjian Malaysia?”

Katanya, jika pemimpin persekutuan tidak dapat menjawab soalan itu, rakyat Sarawak akan terus ketinggalan dari segi peruntukan pembangunan?

 “Mereka perlu diingatkan persefahaman dalam pembentukan Malaysia, perjanjian yang ditandatangani, kedudukan Sarawak dan Sabah dalam persekutuan dan hak istimewa dan autonomi yang kita miliki.” 

Apabila mereka bercakap dengan kita, mereka seolaholah superior sementara kita di Sarawak, adalah kuli mereka. Secara peribadi saya berasa jengkel apabila pemimpin terbabit tidak melayan kita dari Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf….”

Selepas 60 tahun merdeka, Sarawak harus dilayan dengan adil dan saksama dan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Semenanjung Malaysia.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU

Taman Kenyalang ngеna konsep moden

KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng nerima penuemai basa ari diligit Chung Yuan Christian University (CYCU), Taoyuan, Taiwan, ti bejuraika asil tungkap

Standard teknikal nyamin pemujur servis

CYBERJAYA: Komiti Besai Komunikasyen enggau Multimedia Malaysia (MCMC) negap pemansang standard teknikal nentuka servis begunа baka komunikasyen, bekal kuasa karan enggau ai ulih beoperasyen likun,