ARTIKEL

Bukti rakyat Malaysia akrab

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Perpaduan Negara menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) selepas kejayaan menganjurkan program pemakaian busana etnik teramai dan penyertaan kumpulan etnik terbanyak.

Kedua-dua program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching yang bermula pada 20 hingga 26 Mei ini.

Sehubungan itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pengiktirafan MBOR bukan sekadar ingin mencipta rekod semata-mata tetapi membuktikan keakraban, keharmonian dan jalinan perpaduan sangat utuh dalam kalangan rakyat Malaysia. “Inilah yang dinamakan erti perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya menerusi kenyataan.

Sebanyak 2,471 penyertaan direkodkan untuk program pemakaian busana etnik teramai yang melibatkan murid prasekolah, pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi (IPT), komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan orang awam dari pelbagai agensi. 

Antara pakaian yang diperagakan ialah pakaian tradisional Melayu dari setiap negeri di Semenanjung Malaysia seperti Puteri Perak, Kebaya Nyoya, Melayu India, Melayu Johor, Negeri Sembilan; Kebaya Perlis, Melayu Kelantan dan Bugis.

Manakala, pakaian kaum Cina termasuk cheongsam, samfoo, changsan dan Baba Nyonya sementara bagi pakaian kaum India ia termasuk sari, lehenga choli, salwar kameez, anarkali, kurta, dhoti, dan sherwani, jippa, kaili, pakaian kaum Serani dan pakaian Orang Asli Semenanjung Malaysia – Mah Meri.

Pakaian etnik Sarawak pula merangkumi Jati Miriek, Lun Bawang, Kedayan; Iban, Salako Rara, Melanau, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kajang, Orang Ulu, Ngajat, Punan, Vaie, Ulu Kelabit, Serian dan Keringkam.

Pakaian etnik Sabah termasuk Kadazan, Murut; dan Bajau. Sementara itu, 17 penyertaan diterima untuk kumpulan etnik pada pameran rumah etnik, sekali gus menjadikan ia sebagai penyertaan etnik terbanyak untuk pameran kebudayaan yang pernah diadakan di Malaysia. 

Antara kumpulan etnik yang terlibat dalam pameran ini adalah seperti Melayu, Melanau, Kayan, Kenyah, Kajang, Cina, Iban, Lunbawang, Bidayuh, Kedayan, India, Bugis, Vaie, Salako Rara, Jatti Miriek, Kadazan Dusun Murut Rungus, Orang Asli Mah Meri. Pameran Rumah Etnik itu akan berlangsung sehingga 26 Mei ini.

Sijil pengiktirafan MBOR yang dianugerahkan kepada Kementerian Perpaduan Negara itu disampaikan oleh Penganalisis Penyelidikan MBOR Siti Nurhanim Mohd Noh dan Eksekutif Akaun MBOR Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi kepada Aaron.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU