Seiring dengan arus pemodenan dan perkembangan pesat teknologi, tabiat membaca sering kali dipinggirkan. Ramai yang lebih selesa mendapatkan maklumat secara ringkas melalui media sosial atau video pendek. Namun, persoalannya, adakah cara ini benar-benar mampu menggantikan peranan buku?
Membaca buku memerlukan kesabaran, fokus dan keinginan untuk memahami sesuatu secara mendalam. Proses ini bukan sahaja menambah ilmu, malah membentuk cara kita berfikir, menilai dan membuat keputusan.
Penulis sendiri sering tertanya-tanya tentang rahsia di sebalik penulisan artikel atau berita yang menarik. Dalam perbualan bersama-sama rakan-rakan wartawan yang lebih senior, jawapan yang diberikan hampir sama, iaitu memperbanyakkan membaca. Ada juga yang berseloroh mengatakan, “Bacalah kamus.”
Pada mulanya, jawapan ini kedengaran agak lucu, seolah-olah terlalu mudah dan tidak diambil serius. Namun, apabila direnung kembali, terdapat hikmah yang besar di sebaliknya. Membaca kamus bukan sekadar mempelajari makna perkataan, tetapi membuka pintu kepada kekayaan bahasa. Seorang penulis yang baik bukan sahaja perlu tahu perkara yang ingin disampaikan, tetapi juga bagaimana menyampaikannya dengan tepat, jelas dan berkesan.
Perbendaharaan kata yang luas membolehkan penulis menggunakan pelbagai gaya bahasa, memilih diksi yang sesuai dan menyusun ayat yang mampu menyentuh emosi pembaca.
Tidak hairanlah jika ada yang mengatakan buku ialah jendela dunia. Melalui buku, kita dapat mengembara ke pelbagai tempat tanpa perlu meninggalkan rumah. Kita boleh memahami budaya masyarakat di benua lain, menyelami pemikiran tokoh besar, malah merasai pengalaman hidup yang mungkin tidak pernah kita lalui.
Buku memberikan kita perspektif, dan perspektif inilah yang mematangkan seseorang.
Lebih menarik lagi, membaca juga sering menemukan kita dengan kata-kata yang mampu mengubah cara pandang dan memberi makna mendalam. Kata-kata ini kadangkala ringkas, tetapi kesannya mendalam. Ia menjadi dorongan, peringatan dan kadangkala juga cerminan diri.
Dalam konteks ini, membaca merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang untuk perkembangan diri.
Namun, realiti hari ini menunjukkan minat membaca masih belum mencapai tahap yang membanggakan. Banyak buku dibeli, tetapi tidak dibaca. Rak buku dipenuhi dengan pelbagai judul menarik, tetapi sekadar menjadi hiasan. Keadaan ini mengingatkan kita kepada kata-kata Lemony Snicket: “Tiada yang lebih menyedihkan daripada orang yang memiliki banyak buku tetapi tidak pernah membaca.”
Kata-kata ini mungkin kedengaran sinis, tetapi menggambarkan fenomena yang nyata.
Mengapa hal ini berlaku? Salah satu sebabnya ialah kita terbiasa membaca kerana terpaksa. Sejak di bangku sekolah, membaca sering dikaitkan dengan peperiksaan dan tugasan, bukan sebagai satu keseronokan. Akibatnya, ramai yang tidak melihat nilai intrinsik dalam amalan membaca itu sendiri. Sedangkan, apabila kita membaca dengan minat dan rasa ingin tahu, pengalaman tersebut menjadi jauh lebih bermakna.
Untuk memupuk budaya membaca, kita perlu mengubah pendekatan. Membaca tidak semestinya bermula dengan buku yang berat atau ilmiah. Pilihlah bahan yang dekat dengan minat seperti novel, biografi, esei ringan atau komik. Wujudkan tabiat membaca secara konsisten. Sedikit demi sedikit, minat itu akan berkembang dan kita akan mula mencari bahan yang lebih mencabar.
Perbincangan mengenai buku, perkongsian idea dan galakan untuk membaca perlu dijadikan kebiasaan. Apabila membaca menjadi sebahagian daripada gaya hidup, ia tidak lagi dilihat sebagai beban.
Dalam dunia kewartawanan khususnya, membaca ialah asas yang tidak boleh diabaikan. Seorang wartawan bukan sahaja melaporkan fakta, tetapi juga perlu memahami konteks, menganalisis isu dan menyampaikan maklumat dengan jelas kepada masyarakat. Semua ini memerlukan asas pengetahuan yang kukuh, dan asas itu dibina melalui pembacaan.
Justeru, kita perlu kembali kepada hakikat bahawa membaca ialah pelaburan terbaik untuk masa depan. Ia tidak memberikan pulangan segera seperti wang atau kemasyhuran, tetapi kesannya jauh lebih mendalam dan berkekalan. Ilmu yang diperoleh melalui pembacaan akan membentuk cara kita berfikir, bertindak serta berinteraksi dengan dunia.
Mungkin kita tidak mampu membaca semua buku di dunia ini. Namun, setiap buku yang kita baca ialah satu langkah ke arah menjadi insan yang lebih berpengetahuan dan berfikiran luas. Dalam dunia yang penuh dengan maklumat, keupayaan untuk memahami dan menilai sesuatu secara kritis ialah satu kelebihan yang tidak ternilai.
Marilah kita kembali kepada buku, bukan sekadar sebagai simbol keintelektualan, tetapi sebagai sahabat setia dalam perjalanan mencari ilmu. Dalam setiap helaian buku tersembunyi dunia yang menunggu untuk diterokai.



