KUCHING: Buku merupakan khazanah intelektual yang merakam sejarah, budaya, pengalaman dan pemikiran masyarakat Sarawak untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setiap buku yang diterbitkan menjadi rekod tentang kehidupan, pemikiran dan pengalaman masyarakat pada sesuatu zaman.
“Jika hasil bumi merupakan antara sumber kekayaan Sarawak, buku pula penting sebagai khazanah intelektual yang nilainya dapat terus berkembang dari satu generasi kepada generasi berikutnya.”
“Buku membolehkan pengalaman, pemikiran dan pengetahuan seseorang penulis terus hidup walaupun penulisnya sudah tiada.”
“Dalam konteks Sarawak, usaha mendokumentasikan sejarah dan budaya amat penting memandangkan negeri ini mempunyai sejarah, budaya, masyarakat serta pengalaman pembangunan yang unik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak di Raia Hotel di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kisah Sarawak perlu ditulis dengan sebaik-baiknya, khususnya dari perspektif masyarakat negeri ini sendiri, bagi memastikan sejarah, budaya dan pengalaman masyarakat terus didokumentasikan.
“Usaha ini juga penting bagi memelihara loghat dan dialek tempatan susulan semakin ramai generasi baharu yang mula melupakannya,” katanya.
Menyentuh mengenai program, Awang Tengah memberitahu Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak mempunyai peranan penting dalam memperkukuh ekosistem penulisan, penerbitan dan pembudayaan ilmu di negeri ini.
“Anugerah berkenaan bukan sahaja mengiktiraf penulis dan penerbit, malah memberi perhatian kepada karya yang mengangkat sejarah, identiti, budaya dan kearifan tempatan Sarawak.”
“Usaha itu bukan sahaja memperkayakan khazanah negeri, tetapi turut menyumbang kepada khazanah penerbitan dan ilmu di peringkat negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan harapan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak terus memperluas kerjasama dengan institusi pendidikan, universiti, penerbit, persatuan penulis dan pihak berkepentingan lain untuk membina ekosistem penulisan dan penerbitan yang lebih kukuh.
“Kita mahu budaya membaca dan menulis menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Sarawak, seterusnya karya tersebut diketengahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.”
“Pembangunan yang kita laksanakan hari ini adalah untuk generasi masa hadapan; apa yang kita tulis dan terbitkan hari ini mungkin menjadi rujukan kepada pelajar atau penyelidik pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, terdapat dua kategori ditampilkan iaitu Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 (Kategori Terbitan DBP) dan Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 (Kategori Terbitan Penerbit Luar).
Buku berjudul ‘Etnik Bidayuh Dan Bale Gambang – Baruk: Identiti, Tradisi dan Perubahan’ karya Charlie Ungang dan Awang Azman Awang Pawi (2024) menerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 (Kategori Terbitan Penerbit Luar) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.
Manakala, Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 (Kategori Terbitan DBP) dianugerahkan kepada Izzah Abdul Hamid @ Ghazali dan Wan Asrina Wan Yahya dengan judul buku ‘Lada Hitam: Permata Sarawak’ (2024) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000.





