DR KAMIL SALEM mengimbau nostalgia Hari Raya Aidilfitri di Kampung Sungei Bedil Besar pada era 1960-an melalui penulisan buku.
Minatnya dalam seni fotografi sejak kecil memberinya dorongan utama untuk menyusun buku tersebut yang penuh dengan gambar-gambar lama sebagai kenangan bagi generasi akan datang.
Buku berjudul ‘Suatu Hari Di Hari Raya’ ini hasil karya Dr Kamil Salem yang disunting oleh Awang Rosli Awang Jaya, Radin Azhar Ahmad dan Alfean Aziz.
Buku ini sudah berada di pasaran Johor Bahru dan boleh didapati di Pustaka Empayar Melayu, No 37, Jalan Perdana 3/1, Taman Sri Pulai Perdana 2, 81110 Johor Bahru, Johor Darul Ta’zim.
Buku ini diterima baik di sana dan setakat ini dalam proses cetakan edisi ketiga.
Dalam penulisannya, Dr Kamil menggunakan teknik bercerita yang menarik dengan bahasa yang ringkas dan jelas. Setiap bab dalam buku ini dihias dengan gambar hitam putih yang memperkuatkan lagi aspek nostalgia.
Buku ini menggambarkan persiapan Hari Raya pada zaman 1960-an dan kisah-kisah tentang kehidupan tanpa kemewahan seperti peti sejuk, elektrik, air paip, dan jalan raya yang bagus.
Dr Kamil juga berkongsi tentang zaman televisyen menjadi hiburan utama pada era 1976, meskipun pada masa itu hanya sedikit rumah yang memiliki peti televisyen.
Walaupun hidup pada zaman tersebut sukar, kemeriahan Aidilfitri tetap dirasai dengan begitu mendalam.
Dr Kamil juga menyentuh mengenai makanan dan minuman tradisional serta budaya bertukar-tukar kad raya dan penggunaan minyak londar wangi yang menjadi amalan pada masa itu.
Bagi Dr Kamil, penting untuk memelihara kemeriahan Hari Raya Aidilfitri melalui penghormatan terhadap tradisi dan menghargai nilai-nilai keluarga.
Jika di Sarawak, buku ini boleh didapati di Nonakraf Creative Kuching, WhatsApp: 0168779307.






