MASIH adakah masa depan untuk buku?
Adakah nasib buku sama seperti nasib mesin taip dan lain-lain susulan kemunculan telefon pintar, komputer dan Internet? Marshall McLuhan pada tahun 1960-an meramalkan bahawa buku akan mati.
Sebaliknya, pakar teori media itu sudah meninggal dunia pada hari terakhir tahun 1980.
Beliau dikenali sebagai bapa kajian media dan terkenal dengan ungkapan the medium is the message dan istilah global village.
McLuhan meramalkan bahawa dunia akan memasuki era elektronik yang dicirikan oleh perhubungan manusia melalui teknologi.
Ahli falsafah dari Kanada itu menjelaskan bahawa era itu akan menyaksikan warga dunia bakal mempunyai akses terhadap maklumat sama melalui teknologi.
Dari segi itu, jangkaan dan ramalan beliau tepat manakala ramalannya bahawa buku akan mati tersasar.
Buku dan industri perbukuan masih lagi rancak berkembang, dengan 2.2 juta buku diterbitkan di seluruh dunia dalam setahun, termasuk buku elektronik atau e-buku.
Pada hari dan malam Jumaat lepas, Anugerah Buku Negara telah diadakan di Kuching.
Objektif majlis itu adalah untuk mengiktiraf serta menghargai warga kerja di sebalik tabir yang menjalankan aktiviti penerbitan buku.
Juga memberi suntikan semangat kepada pemain industri sebagai galakan untuk terus menghasilkan buku yang berkualiti dan tidak tertumpu kepada buku komersial.
Saya antara yang menerima anugerah berkenaan.
Ya, kebetulan dua hari sebelumnya, saya telah menyampaikan ceramah di hadapan staf dan editor DBP serta pemain industri buku di Kuala Lumpur berkaitan dengan ekosistem penerbitan buku bahasa Melayu.
Anugerah buku penting kerana ia mengiktiraf karya penulis dan menyemai budaya membaca.
Anugerah ini memberikan motivasi kepada penulis untuk terus berkarya, serta meningkatkan reputasi mereka dalam industri penerbitan.
Selain itu, anugerah buku membantu memperkenalkan karya berkualiti kepada khalayak yang lebih luas, sekali gus mempromosikan nilai-nilai intelektual dan kreatif.
Anugerah buku juga mendorong penerbit untuk menerbitkan buku yang lebih baik dari segi kandungan, persembahan, reka letak, suntingan dan perwajahan kulit.
Dalam konteks masyarakat, anugerah buku memupuk minat terhadap ilmu pengetahuan, memperkaya peradaban, dan menyumbang kepada pembangunan pemikiran kritis Industri penerbitan buku memainkan peranan yang penting dalam pembangunan intelektual dan sosiobudaya.
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan ujian, kepentingan dan impaknya terhadap masyarakat tempatan tidak boleh dipandang enteng.
Pembangunan industri ini perlu diteruskan dengan penggemblengan usaha pihak penerbit, penulis, dan masyarakat untuk memastikan kelangsungan dan kemajuan budaya literasi.
Ekosistem yang sesuai amat penting untuk menggalakkan industri penerbitan buku di negara ini.
Untuk itu, ekosistem yang memberangsangkan perlu diwujudkan agar semua pihak atau pemegang taruh yang terbabit dapat memainkan peranan masingmasing, sekali gus memperoleh manfaat daripadanya.
Mempertemukan semua pihak terbabit untuk membahas isu dan masalah dalam dunia penerbitan buku di negara ini bukanlah hal yang mustahil.
Sesungguhnya, mencipta dan mewujudkan eksosistem yang sihat perlu melibatkan peranan aktif seluruh pemegang taruh industri buku termasuk penulis, editor, pereka bentuk buku, pencetak, pengedar, penjual buku, bahkan pembaca buku itu sendiri.
Perkembangan teknologi telah memberi impak yang besar terhadap industri penerbitan buku, termasuk juga buku dalam bahasa Melayu.
Teknologi baharu seperti penerbitan digital, penerbitan kendiri, Kindles, dan buku audio telah memecahkan model perniagaan buku tradisional.
Ledakan teknologi itu memberi kesan besar, sama seperti ketika Johannes Gutenberg, seorang tukang emas di kota Mainz, Jerman, menggunakan wang pinjaman bagi mendana penciptaan mesin cetak percubaan.
Namun, usahanya itu gagal sehingga beliau terpaksa berhutang kepada peminjam.
Akhirnya, pada 1455, Gutenberg Bible, buku cetakan pertama di Eropah, berjaya dicetak dan diterbitkan.
Menjelang tahun 1500, sembilan juta buku bercetak beredar di Eropah, termasuk karya dalam bidang sejarah, sastera, tatabahasa dan logik.
Sejak mesin Gutenberg dicipta 575 tahun lalu, Google Books dalam kajiannya menyatakan sebanyak 129,864,880 judul buku telah diterbitkan.
Jika anda hendak membaca kesemua buku berkenaan, bayangkan jumlah tahun anda perlu korbankan untuk membacanya?
Sedangkan purata, rakyat Malaysia hanya menghabiskan sekitar sejam untuk membaca buku dalam seminggu, serta hanya menghabiskan 20 judul buku dalam setahun.
Perkembangan dan transformasi penerbitan, promosi dan pemasaran yang berlaku sekarang selari dengan gelombang perubahan dalam bidang teknologi.
Buku elektronik atau e-buku memberi peluang kepada penerbit untuk mengeluarkan karya-karya dalam format yang mudah diakses melalui peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet, dan pembaca e-buku.
Ini memberi keselesaan kepada pembaca dalam memperoleh dan membaca buku-buku dalam bahasa Melayu di mana-mana sahaja.
Landskap digital mula memberi pengaruh besar, membentuk semula cara pembaca mengakses dan membaca buku.
Peningkatan penembusan Internet dan kemudahan membeli serta membaca buku di peranti digital memacu perubahan cara membeli dan membaca buku.
Buku elektronik dan kedai buku dalam talian semakin popular, menawarkan pelbagai pilihan judul yang tersedia di hujung jari setiap pembaca tanpa perlu lagi menunggu buku fizikal untuk sampai di kedai buku atau di rumah, sebaliknya mereka boleh memilih dari katalog buku global tanpa perlu meninggalkan rumah.
Hakikatnya, lonjakan jualan dalam talian membuktikan keberkesanan dan capaian strategi pemasaran digital yang dilakukan oleh penerbit dan penulis.
Platform media sosial, blog ulasan buku, dan komuniti pembaca dalam talian mempromosikan buku dan mempengaruhi pilihan pembaca.
Gabungan kedua-dua platform ini memperluaskan capaian kepada pembaca baharu, meningkatkan jualan, serta memudahkan proses pembelian dan promosi buku bahasa Melayu secara efektif.
Kelebihan e-dagang termasuk kemudahan proses pembelian, akses mudah kepada maklumat buku, serta promosi yang disesuaikan melalui penilaian dan ulasan pengguna.
Yakinilah, buku akan tetap hidup walau seribu tahun lagi.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah penulis, peminat buku dan pembeli buku yang taasub.



