ARTIKEL

NOSTALGIA... Makanan yang sedia untuk diangkat oleh pemuda untuk dihidangkan kepada tetamu yang menyantuni majlis perkahwinan di kampung sutau ketika dahulu. | Gambar hiasan

Bulan orang kahwin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

NOVEMBER dan Disember, dua bulan yang tidak sunyi dengan majlis perkahwinan.

Pertama, mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita mengadakan majlis perkahwinan pada hujung tahun. Kedua, hujung tahun biasanya ada cuti persekolahan akhir tahun — hampir sebulan.

Jadi, memudahkan ahli keluarga yang bekerja merancang cuti.

Jika diadakan pada waktu persekolahan, mungkin ramai yang tidak dapat hadir walaupun sekadar menjenguk muka.

“Minta maaf awalawal dengan kitak, sik dapat kamek datang kelak. Cun dengan biak masih sekolah waktu ya,” jawapan klise setiap kali ada jemputan majlis perkahwinan bukan pada waktu cuti sekolah.

Dengan mengadakan majlis perkahwinan pada November atau Disember, akan ada ramai ahli keluarga dapat hadir untuk membantu persiapan, terutama di kampung.

Di bandar juga demikian — perlukan bantuan ahli keluarga sama ada yang kecil atau besar.

Lebih-lebih lagi bagi majlis yang menyediakan makanan berhidang (makan seperah), bukan secara bufet seperti sekarang.

Suatu ketika dahulu, sebelum ada majlis kenduri menggunakan katering serta makan secara bufet, setiap majlis biasanya menyediakan makanan secara berhidang.

Ada yang menggunakan talam besar, mengandungi ayam masak merah, daging kari, telur masak sos dan sayur umbut kelapa.

Semuanya menggunakan pinggan kecil, bukan piring.

Turut disertakan satu besen kecil nasi putih. Makanan berhidang menggunakan talam ini sangat popular di kampung-kampung.

Biasanya, ada penduduk yang menyediakan semua pinggan, mangkuk, besen nasi, gelas plastik, termasuk periuk besar serta kuali. Sewa tidak mahal.

Kemudian, hanya perlukan seorang mengangkat satu talam untuk dihidangkan di atas meja panjang di bawah kanvas hijau, yang tiangnya diperbuat daripada kayu hutan.

Satu talam (bermaksud satu seperah) untuk empat orang. Bagi yang tidak menggunakan talam besar, biasanya ada orang lelaki terutama pemuda kampung akan berbaris dari kawasan masakan hingga ke meja makan.

Seorang lelaki dewasa (ketua hidangan) akan mengambil biasanya dua pinggan mengandungi makanan kemudian diberikan kepada lelaki kedua.

Kepala seperah Lelaki kedua akan memberikan kepada lelaki ketiga dan begitu seterusnya hingga sampai kepada kepala seperah iaitu lelaki yang akan menyusun makanan di atas meja di depan tetamu.

Bukan semua orang boleh menjadi kepala seperah serta ketua hidangan.

Mesti ada ilmu dan pengalaman. Jika tidak, urusan menghidang makanan akan terganggu.

Boleh “karam majlis” kata orang kampung.

“Ada berapa lauk tek?”

Soalan biasa daripada kepala seperah kepada ketua tukang masak.

Dia mesti tahu jumlah juadah untuk memudahkannya menyusun pinggan makanan di atas meja.

“Aduh! Apa hal sik cun lauk diangkat tok? Sapa ketua hidang?”

Soalan dalam nada marah daripada kepala seperah jika makanan yang diangkat tidak mengikut aturan ditetapkannya.

Dia tidak mahu urusan itu terganggu sebab biasanya tetamu sudah setia duduk menunggu hidangan. Sebab dia yang akan dipersalahkan jika ada tetamu merungut makanan lambat dihidangkan.

Ia sangat berbeza dengan konsep hidangan bufet. Tetamu yang mengambil sendiri makanan di meja khas.

Ini antara cerita menarik tentang majlis perkahwinan di kampung. Ada juga di bandar. Itu dahulu. Zaman orang lamak marek

. Sekarang jarang ada, disebabkan masa terasa kian singkat, selain kekangan mengumpul orang untuk membantu kerja-kerja tersebut.

Sebabnya, majlis sedemikian memerlukan sekurang-kurangnya lima ke tujuh orang membasuh pinggan, dua hingga tiga orang mengurus bahagian minuman, dan 10 hingga 15 orang dalam bahagian hidangan.

Biasanya, pemuda di kampung tidak akan ketinggalan membantu dalam majlis seperti ini. Mereka sukarela membantu.

Tiada upah. Cukup sekadar tuan punya majlis menyediakan rokok. Saya sendiri pernah menjadi pembantu ‘ahli jawatankuasa’ bahagian rokok.

Jika ada yang minta rokok, saya bantu agihkan. Selain itu, ini ruang bagi pemuda menjeling ke arah gadis idaman — jika berkenan, akan cuba-cuba bermain mata. Dari mata turun ke hati, cinta itu mungkin berputik.

Macam-macam gelagat pemuda jika melihat anak dara datang ke majlis perkahwinan. Ada yang menyikat rambut yang memang sudah rapi, ada yang pura-pura rajin, dan ada yang meninggalkan bahagian membasuh untuk membantu di bahagian hidangan.

Walaupun demikian, jika ada orang lebih dewasa menegur, fokus akan kembali kepada kerja.

“Aih! Kitak orang tok, diat orang puan jak kerja… alu sik bebasuh gik barang nun… kerja lok, kelak baruk nangga orang puan…”

Teguran sebegini menyebabkan si gadis ketawa kecil sambil menjeling ke arah kumpulan pemuda tadi.

Santuni jemputan

Apa-apa pun, setiap kali majlis perkahwinan diadakan, semua orang dijemput akan menyantuni hajat tuan punya majlis.

Hadir pemuda yang membantu juga untuk menyantuni hajat (membantu) tuan rumah. Hari ini, walaupun tidak ada apa-apa yang hendak dibantu, pemuda turut hadir jika ada undangan ke majlis perkahwinan. Ini yang penting sejak dahulu hingga sekarang.

Seboleh mungkin semua undangan akan dipenuhi.

Bukan janggal jika ada yang menerima empat hingga enam jemputan sehari. “Makan lok,” Pinta tuan rumah kepada saudaranya.

“Sik hal bang aji, gik ada banyak rumah nak kamek pergi.

Terima kasih banyak. Kamek jalan lok!” Ada yang perlu mengatur perjalanan untuk memenuhi lima undangan.

“Kita pergi ke Semariang dolok, lepas ya ke Buntal, Bako, Tabuan… akhir sekali kita ke Samarahan.

Di Samarahan kita makan.”

Cadang Pak Mat kepada isterinya yang mengangguk-angguk tanda setuju.

Pak Mat perlu menyantuni semua undangan dengan bersebab

“Ini hari orang, kelakkelak hari kita pulak.” Maksudnya, jika kita menyantuni undangan orang lain, jika kita menjemput, mungkin orang juga tidak akan hadir. Paling ditakuti oleh tuan punya majlis, apabila makanan dihidang tetapi tidak orang yang datang.

“Sik perlu kita makan, cukup kita hadir dan menunjukkan muka kita kepada orang yang mengundang,” jelas seorang rakan berusia 60-an.

Sekurang-kurangnya kita berjaya menyantuni jemputan saudaramara yang amat mengharapkan kedatangan kita. Dalam hal ini, ukhuwah itu penting, yang perlu dipanjangkan.

Bukan diputuskan.

Walaupun menerima banyak jemputan, sedaya upaya perlu untuk hadir.

Bukan wang sumbangan kita yang diharapkan, tetapi kehadiran saudara atau rakan yang mungkin sudah lama tidak berjumpa.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU