BULUH SARAWAK berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai bahan utama dalam reka bentuk moden dan kontemporari.
Hal ini dibuktikan melalui pameran Bamboo Reimagined – Nature Meets Design yang berlangsung di Plaza Merdeka, Kuching dari 12 hingga 14 Disember lalu, sekali gus mencuri perhatian pengunjung.
Pameran selama tiga hari ini merupakan hasil projek penyelidikan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang memberi tumpuan kepada penerokaan inovatif buluh sebagai bahan lestari, sekali gus membuka dimensi baharu dalam dunia reka bentuk produk tempatan.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan, dengan ramai pengunjung memberikan maklum balas positif terhadap kualiti, estetika dan keunikan produk yang dipamerkan.
Projek penyelidikan yang dibiayai melalui dana dalaman UNIMAS ini berjaya menghasilkan lebih daripada 30 prototaip produk berasaskan buluh
. Koleksi yang dipamerkan merangkumi perabot, produk hiasan kediaman serta aksesori fesyen yang semuanya direka dengan pendekatan moden tanpa mengetepikan nilai semula jadi bahan buluh itu sendiri.
Menariknya, projek ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) yang berperanan penting dalam memastikan hasil reka bentuk bukan sahaja kreatif, malah praktikal serta berpotensi untuk dikomersialkan.
Kolaborasi ini mencerminkan sinergi kukuh antara institusi akademik, agensi pembangunan industri dengan pemain industri perabot tempatan dalam memajukan sumber asli Sarawak.
Antara tarikan utama pameran ini ialah prototaip inovatif yang berjaya menangkis persepsi stereotaip terhadap produk buluh yang sering dikaitkan dengan reka bentuk tradisional dan konvensional.
Sebaliknya, koleksi yang dipamerkan menampilkan gaya minimalis, fungsi ergonomik serta gabungan tekstur semula jadi buluh dengan elemen reka bentuk kontemporari yang kemas dan canggih.
Pendekatan ini jelas selari dengan cita rasa dan trend kediaman moden masa kini, sekali gus membuktikan buluh mampu bersaing sebagai bahan pilihan dalam pasaran reka bentuk global.
Menurut Ketua Penyelidik projek, Profesor Madya Dr Faridah Sahari, pameran ini bukan sekadar platform untuk mempamerkan produk, malah menjadi medan penting untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada masyarakat umum.
Sepanjang pameran berlangsung, maklum balas pengunjung direkodkan melalui soal selidik dan sesi temu bual bagi menilai persepsi serta tahap penerimaan pengguna terhadap produk berasaskan buluh.
Dapatan ini akan dianalisis secara terperinci untuk memahami kehendak dan jangkaan pengguna, seterusnya dijadikan panduan bagi penambahbaikan reka bentuk pada masa hadapan.
Beliau turut menyatakan keterujaannya terhadap respons positif yang diterima, sekali gus membuktikan buluh mempunyai nilai estetik dan kelestarian yang semakin dihargai oleh masyarakat moden.
Peranan STIDC dalam projek ini amat signifi kan, khususnya dalam menyediakan sokongan teknikal, bahan mentah serta akses kepada infrastruktur industri.
Pelibatan SFIA pula memastikan prototaip yang dihasilkan memenuhi keperluan industri dan berdaya maju dari segi pengeluaran berskala komersial.
Kerjasama ini dilihat sebagai asas penting untuk memacu pembangunan industri perabot buluh yang mampan di Sarawak.
Malah, kerajaan negeri juga berpotensi memainkan peranan lebih besar dengan menyalurkan dana, menyediakan platform promosi serta melibatkan golongan belia yang berminat dalam bidang reka bentuk dan pengeluaran perabot buluh berkualiti tinggi.
Inisiatif seperti projek Bamboo Reimagined ini amat bertepatan dengan aspirasi Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 (PCDS) 2030, yang meletakkan industri perabot sebagai salah satu pemacu utama ekonomi Sarawak.
Di bawah PCDS 2030, Sarawak menyasarkan peningkatan ketara sumbangan industri perabot kepada ekonomi negeri, dengan sasaran eksport perabot bernilai tambah tinggi sebanyak RM6 bilion hingga RM8 bilion menjelang 2030.
Penggunaan buluh sebagai bahan lestari bukan sahaja menyokong matlamat ekonomi, malah selari dengan agenda kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran.
Pandangan positif turut disuarakan oleh wakil STIDC, Johari Zainuddin dan Ahmad Nazari Sabki, yang menyifatkan projek ini sebagai langkah awal yang sangat memberangsangkan dalam mengangkat martabat buluh Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi.
Mereka berharap maklum balas yang dikumpul dapat menjadi maklumat berharga untuk fasa pengkomersialan seterusnya.
Selain itu, pihak Bioeconomy Corporation yang diketuai Dr Faizal Hamid turut memuji pelibatan komuniti, artisan dan pengusaha kecil tempatan dalam projek ini, yang dilihat mampu memberikan impak bioekonomi yang mampan kepada masyarakat setempat.
Secara keseluruhan, kejayaan pameran Bamboo Reimagined – Nature Meets Design membuktikan buluh Sarawak mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai bahan inovatif dalam reka bentuk produk moden.
Dengan sokongan berterusan daripada institusi akademik, agensi kerajaan, industri dan komuniti, buluh bukan sahaja mampu menjadi simbol kelestarian, malah pemangkin peluang ekonomi baharu yang berdaya saing dan mampan untuk Sarawak pada masa hadapan.



