ARTIKEL

TAHAN…Buruh tempatan berjaya ditahan kerana disyaki memiliki dadah, semalam.

Buruh Ditahan Disyaki Miliki Dadah di Mukah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Tindakan seorang lelaki membuang kotak rokok ke dalam semak ketika cuba diperiksa polis membawa padah apabila kotak berkenaan didapati mengandungi dadah disyaki methamphetamine atau syabu seberat 0.37 gram, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari itu, sepasukan Unit Kereta Peronda (MPV) yang menjalankan operasi bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menahan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kuala Balingian.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, motosikal berkenaan ditunggang lelaki tempatan, 47, yang bekerja sebagai buruh.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, suspek disedari membuang sebuah kotak rokok ke dalam semak di tepi jalan.

“Pemeriksaan kotak rokok tersebut kemudian menemukan satu keratan straw plastik berwarna kuning yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 0.37 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Rizal, suspek kemudian dibawa ke IPD Mukah sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.

Tambah Rizal, suspek yang mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah kini direman selama empat hari hingga 21 September ini bagi melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Polis IPD Mukah komited membanteras segala aktiviti berkaitan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi 084-871222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU