KUCHING: Burung Camar Cina Berjambul (Thalasseus bernsteini), burung laut terancam yang kali terakhir direkodkan dilihat di Sarawak pada 1913, membuat kemunculan semula yang mengejutkan di luar pantai Asajaya pada Februari tahun ini.
Menurut Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Kuching menerusi satu kenyataan, penemuan yang jarang berlaku itu dibuat oleh Dr Ng Jia Jie, seorang doktor haiwan dan ahli aktif komuniti alam semula jadi bersama-sama pasukannya, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan pemulihara dan peminat burung.
“Ia detik impian menjadi kenyataan bagi pasukan untuk dapat menemui semula spesies yang sangat jarang ditemui ini di Sarawak selepas lebih satu abad.
“Saya mengenali Burung Camar Cina Berjambul dengan warna hitam di hujung paruh,” kata Ng menerusi satu kenyataan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Kuching.
Beliau berkata Burung Camar Cina Berjambul dikesan dalam kawanan kecil 10 hingga 20 Great Crested Terns (Thalasseus bergii), spesies yang sering dikaitkan dengan habitatnya yang bertindih dan ciri fizikal yang serupa.
“Pada pandangan pertama, kedua-duanya kelihatan hampir serupa tetapi Burung Camar Cina Berjambul sedikit lebih kecil, berukuran antara 38 hingga 43 sentimeter, berbanding Great Crested Tern 43 hingga 53 sentimeter.
“Kedua-duanya mempunyai ‘topi hitam’ sedikit memuncak (ke arah belakang) dan semasa fasa bukan pembiakan, kedua-dua spesies mempunyai dahi putih,” jelasnya.
Ng berkata secara global, dianggarkan hanya kira-kira 50 Burung Camar Cina Berjambul dewasa yang tinggal.
“Jadi, burung tunggal yang ditemui di Asajaya ini mewakili hanya dua peratus daripada jumlah populasinya,” katanya.
Burung Camar Cina Berjambul mempunyai jenis dan baka yang terhad di sepanjang pantai timur China dan pulau-pulau yang berkaitan, Taiwan dan Korea Selatan.
Pada musim sejuk, mereka berhijrah ke selatan di kawasan yang lebih panas di pantai Asia Tenggara termasuk Kepulauan Maluku, kepulauan di Indonesia dan Davao del Norte di Filipina.
Pantai Asajaya adalah sebahagian daripada Kawasan Penting Burung dan Biodiversiti (IBA) Teluk Bako-Buntal dan Kawasan Biodiversiti Utama (KBA) yang merupakan salah satu daripada 55 IBA di Malaysia.
Menjangkau kira-kira 35.9 kilometer persegi, IBA Teluk Bako-Buntal membentang dari Santubong ke muara Sungai Sadong sejauh 28 kilometer manakala Taman Negara Santubong dan Bako, dua kawasan terlindung sepenuhnya menyumbang 17.6 peratus daripada kawasannya.
Justeru, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Kuching Rose Au berkata terdapat keperluan mendesak untuk pemuliharaan berterusan ke atas burung itu.
“Burung Camar Cina Berjambul berdepan banyak ancaman termasuk kegagalan pembiakan akibat pemburuan haram dan perdagangan menuai telur dan taufan.
“Memancing kerang berhampiran tempat pembiakan juga boleh menghalang pembiakan,” katanya.
Beliau turut menekankan tentang kepentingan ekologi Teluk Bako-Buntal, yang berfungsi sebagai kawasan musim sejuk utama bagi burung yang datang dari Asia Timur Laut di sepanjang laluan migrasi Asia Timur-Australasia.
“Teluk Bako-Buntal memenuhi sepenuhnya kriteria IBA kerana semasa musim sejuk di hemisfera utara, ia menjadi tuan rumah lebih daripada satu peratus daripada populasi dunia bagi beberapa spesies terancam atau kritikal terancam seperti Chinese Egret (Egretta eulophotes) dan Far Eastern Curlew (Nomeniusmadagascariensis),” katanya.
Beliau berkata pasukan Persatuan Pencinta Alam Malaysia Cawangan Kuching menjalankan pemantauan populasi Far Eastern Curlew di bawah projek yang dibiayai oleh Konvensyen Mengenai Pemuliharaan Spesies Migrasi Haiwan Liar dan disokong oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) apabila mereka membuat penemuan luar jangka Burung Camar Cina Berjambul.


