Penganjuran pertandingan Kostum Kebangsaan Kanak-Kanak (NATCOS) 2026 edisi keempat yang bertemakan Warisan Merdeka berjaya menyatukan masyarakat pelbagai kaum di satu pentas.
Acara yang diterajui oleh Pengasas Razz Couture, Razie Ali, itu mencuri perhatian ramai apabila menampilkan keunikan busana warisan yang direka khas untuk generasi muda.

Menurut Razie, program yang mengetengahkan kekayaan tradisi etnik Sarawak dan Semenanjung itu diwujudkan sebagai platform yang selamat dan positif bagi memupuk semangat patriotisme, perpaduan serta jati diri menerusi kreativiti fesyen.
Beliau yang juga pereka fesyen, jurusolek, perancang perkahwinan dan pengurus acara menggunakan kepakarannya bagi memastikan pentas tersebut bukan sekadar peragaan busana, malah menjadi medan pembelajaran budaya yang bermakna bagi setiap peserta.
Program ini bertujuan untuk memperkenalkan, memelihara serta mempromosikan warisan budaya Malaysia yang tidak ternilai kepada generasi muda, di samping memastikan khazanah tersebut terus terpelihara dan tidak luput ditelan zaman.


“Disasarkan khusus kepada kanak-kanak dan remaja berumur antara empat hingga 17 tahun, NATCOS 2026 membuktikan seni tradisi mampu dihayati oleh pelbagai peringkat umur jika disalurkan melalui platform yang betul.
“Program ini berperanan penting dalam membangunkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi, disiplin serta bakat seni kanak-kanak dan remaja tanpa memberikan penekanan pada rupa paras semata-mata,” katanya kepada Suara Sarawak.

Kenyataan ini membuktikan fokus utama pertandingan bukanlah pada kecantikan luaran semata-mata, sebaliknya pada proses pembentukan sahsiah dan keperibadian peserta yang bakal menjadi pelapi kepimpinan negara pada masa hadapan.
Di samping itu, ujarnya, pemilihan tema “Pakaian Kreatif Warisan Merdeka” membawa dimensi baharu dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara.
Jelasnya, tema ini direka khas untuk menghubungkan warna, simbol dan nilai pada bendera kebangsaan dengan elemen budaya pelbagai kaum yang wujud di Malaysia.
“Keunikan utama tema ini terletak pada penterjemahan semangat dan makna Jalur Gemilang secara kreatif tanpa memotong atau menjahit bendera sebenar secara langsung untuk dijadikan pakaian, sekali gus mendidik masyarakat tentang tatacara menghormati simbol kedaulatan negara.

“Penganjuran ini berjaya menghimpunkan keindahan warisan Melayu, Cina, India, Sabah serta etnik asli Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu dalam satu persembahan yang cukup memukau dan berwarna-warni,” katanya.
Menerusi pendekatan ini, beliau berkata, para peserta dididik untuk memahami bahawa kemerdekaan sebenar bukan sekadar pada kibaran bendera, sebaliknya turut dihayati melalui penghargaan yang mendalam terhadap kepelbagaian budaya.
Penyertaan dalam NATCOS 2026 secara tidak langsung mendorong mereka untuk mempelajari sejarah, memahami asal usul simbol negara serta mendalami adat resam pelbagai kaum, sekali gus membentuk mereka sebagai duta muda yang bangga akan tanah air Bagi menentukan pemenang, pihak penganjur menetapkan kriteria penilaian secara teliti dan tidak hanya berdasarkan penampilan semata-mata.
“Sebaliknya, pemarkahan merangkumi pemahaman dan penghayatan tema, keyakinan serta sahsiah ketika berada di pentas, kreativiti dalam menggabungkan elemen bendera dan budaya, kejelasan dalam berkomunikasi serta disiplin diri sepanjang pertandingan.



“Walaupun pelibatan ibu bapa dan pereka digalakkan dari segi bimbingan serta bantuan teknikal, penganjur menegaskan konsep utama dan pemahaman tentang rekaan mestilah datang daripada peserta sendiri bagi memupuk keaslian pemikiran mereka,” jelasnya.
Tambahnya, keadilan dan ketelusan pertandingan dipastikan menerusi pelantikan juri profesional yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan peserta.
Bagi mengimbangi penilaian bakat dan sokongan ramai, pemarkahan ditetapkan pada kadar 85 peratus berdasarkan penilaian juri profesional, manakala 15 peratus lagi ditentukan menerusi undian penonton bagi kategori Darling of the Crowd.
Sepanjang penganjuran, pihak penganjur berdepan dengan pelbagai cabaran seperti memastikan rekaan sentiasa menghormati adat istiadat dan simbol budaya tanpa menimbulkan salah faham, mengimbangi kebebasan berkreativiti dengan kesesuaian umur, menyampaikan maklumat budaya yang tepat serta mengurus jangkaan ibu bapa.
Dalam pada itu, penganjur berharap agar para peserta terus membawa bersama keyakinan diri, rasa hormat dan kecintaan terhadap warisan dalam kehidupan seharian.
Bagi perancangan pada masa hadapan, NATCOS berhasrat untuk memperluas penyertaan dengan melibatkan lebih banyak negeri dan etnik, menganjurkan pameran serta bengkel tenunan tradisional, menerbitkan katalog panduan rekaan sebagai bahan rujukan pendidikan serta mewujudkan program jelajah untuk mempromosikan budaya tempatan pada peringkat antarabangsa.
Kemuncak acara menyaksikan kehebatan peserta muda yang bertanding mengikut kategori.
Bagi Kategori A, gelaran juara diraih oleh Aniah Lee Bong, manakala Aaira Inara Putit meraih gelaran naib juara.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing diraih oleh Shera Aurelia Teo dan Dea Delisha Abdullah.
Saingan dalam Kategori B juga tidak kurang hebatnya apabila Nur Qistina Batrisyia Samsudin dinobatkan sebagai juara, manakala Cinta Izzara meraih gelaran naib juara.
Tempat ketiga diraih oleh Mehdina Varissha Mohamad Shaiden, manakala tempat keempat menjadi milik Nur Dini Arsyad Nur Muhamad.
Sementara itu, Kategori C menyaksikan gelaran juara diraih oleh Sarafina Arisya Jihel, manakala Nurul Syamilla meraih gelaran naib juara.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing diraih oleh Cassandra Glesia Christopher dan Mervellynnersty Miszwanna Manau, sekali gus melengkapkan senarai pemenang NATCOS 2026 bertemakan Warisan Merdeka manakala tempat keempat menjadi milik Nur Dini Arsyad Nur Muhamad.
Sementara itu, Kategori C menyaksikan gelaran juara diraih oleh Sarafina Arisya Jihel, manakala Nurul Syamilla meraih gelaran naib juara.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing diraih oleh Cassandra Glesia Christopher dan Mervellynnersty Miszwanna Manau, sekali gus melengkapkan senarai pemenang NATCOS 2026 bertemakan Warisan Merdeka.



