SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan bimbingan Juan Torres Garrido berdepan tugas berat apabila diundi bersama bekas juara, Uzbekistan dalam Kumpulan D pada pusingan akhir Piala Asia di Qatar pada 15 April hingga 3 Mei tahun depan.
Turut menghangatkan saingan Kumpulan D ialah naib juara 2018, Vietnam dan Kuwait.
Pada majlis undian kelmarin, juara bertahan Arab Saudi diundi bersama juara edisi 2013 Iraq, Thailand dan Tajikistan dalam Kumpulan C.
Kumpulan B boleh dianggap sebagai kumpulan maut apabila mengumpulkan juara edisi 2020 dan 2016 iaitu Korea Selatan dan Jepun serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan China, manakala laluan lebih mudah buat tuan rumah serta Australia yang diundi dalam Kumpulan A bersama Jordan dan Indonesia.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan suku akhir.
Tiga pasukan terbaik akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024, manakala pasukan keempat terbaik akan beraksi pada pusingan play-off.
Pencapaian terbaik skuad Harimau Muda ialah layak ke suku akhir pada edisi 2018 di China dan pada edisi 2022 di Uzbekistan, Malaysia terkandas di peringkat kumpulan.- Bernama


