Keluarga merupakan institusi penting dalam membentuk kesejahteraan masyarakat.
Namun begitu, tidak semua keluarga mempunyai struktur yang lengkap dengan kehadiran kedua-dua ibu bapa.
Terdapat individu yang terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa tunggal akibat perceraian, kematian pasangan atau faktor lain.
Golongan ini sering berdepan dengan pelbagai cabaran dalam membesarkan anak-anak dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Di Malaysia, jumlah ibu tunggal bukanlah kecil.
Berdasarkan laporan terkini yang memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah ibu tunggal di negara ini hampir mencecah satu juta orang.
Statistik ini menunjukkan golongan ibu tunggal merupakan sebahagian besar daripada masyarakat dan memerlukan perhatian serta sokongan daripada pelbagai pihak bagi memastikan kebajikan mereka dan anak-anak terpelihara.
Antara cabaran utama yang dihadapi oleh ibu tunggal ialah tekanan kewangan.
Tanpa pasangan untuk berkongsi tanggungjawab, mereka perlu menanggung sendiri kos sara hidup keluarga seperti makanan, pendidikan anak-anak, tempat tinggal dan perbelanjaan harian.
Ada dalam kalangan ibu tunggal yang terpaksa bekerja lebih masa atau melakukan beberapa pekerjaan untuk memastikan keperluan keluarga dapat dipenuhi.
Situasi ini secara tidak langsung boleh menjejaskan masa berkualiti yang sepatutnya diluangkan bersama-sama anak-anak. Selain itu, cabaran emosi dan psikologi juga sering dialami oleh ibu tunggal.
Mereka bukan sahaja perlu menjadi pencari nafkah, malah turut memainkan peranan sebagai pendidik, pelindung dan sumber sokongan emosi kepada anakanak.
Dalam keadaan tertentu, ibu tunggal mungkin berdepan dengan tekanan perasaan, kesunyian dan kebimbangan terhadap masa depan keluarga.
Jika tidak diuruskan dengan baik, tekanan ini boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka. Cabaran lain yang tidak kurang pentingnya ialah pengurusan masa antara kerjaya dengan keluarga.
Ibu tunggal yang bekerja perlu bijak membahagikan masa agar tanggungjawab di tempat kerja dan di rumah dapat dilaksanakan secara seimbang.
Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila anak-anak masih kecil dan memerlukan perhatian serta penjagaan yang rapi.
Kekurangan masa bersamasama anak-anak juga boleh menyebabkan mereka berasa terabai sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan baik.
Di samping itu, ibu tunggal juga menghadapi cabaran dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak.
Tanpa kehadiran pasangan, mereka perlu memainkan dua peranan sekali gus, iaitu sebagai ibu dan bapa.
Hal ini memerlukan kesabaran, ketegasan serta kebijaksanaan dalam mendidik anak-anak agar mereka membesar sebagai individu yang berdisiplin dan berakhlak mulia.
Bagaimanapun, di sebalik pelbagai cabaran tersebut, ramai ibu tunggal berjaya membesarkan anak-anak dengan penuh dedikasi dan ketabahan.
Sokongan daripada keluarga, masyarakat serta pihak kerajaan amat penting untuk membantu golongan ini meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Dengan adanya sokongan yang berterusan, ibu tunggal mampu terus menjadi sumber kekuatan kepada anak-anak serta menyumbang kepada pembentukan generasi masa depan yang cemerlang.



