KUALA LUMPUR: Kempen beregu lelaki negara Kang Khai Xing-Aaron Tai dalam Terbuka Switzerland 2026 berakhir selepas tewas pada suku akhir dalam masa hanya 37 minit menerusi pertemuan pertama mereka hari ini.
Gandingan itu tewas kepada pasangan pilihan ketujuh Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark dengan keputusan 19–21, 15–21 di St. Jakobshalle, Basel, Switzerland.
Kekalahan itu juga menandakan berakhirnya cabaran Malaysia dalam kejohanan tersebut apabila Khai Xing-Aaron merupakan wakil terakhir negara pada pertandingan itu.
Beregu Denmark mara ke separuh akhir dan akan bertemu gandingan Thailand Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul yang menewaskan Eloi Adam-Leo Rossi dari Perancis dengan keputusan 21–19, 21–12 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.–BERNAMA



