KUCHING: Seramai 60 peserta terlibat dalam Cabaran Memanah Aidilfitri 2.0 yang diadakan di Padang Memanah Masjid Al-Abyad hujung minggu lalu.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Kelab Memanah Masjid Al-Abyad,Masjid Al-Abyad dan Kelab Riadah Sunnah Pemanah Tradisional.
Menariknya, edisi kali ini turut disertai wakil pemanah dari negara jiran iaitu Kalimantan Barat, Indonesia.
Berakhir saingan menyaksikan Syamsul Bahri Ali dinobat selaku johan selepas mengumpul 326 mata menerusi penampilan dalam tiga kategori iaitu 30, 40 dan 50 meter.
Naib johan pula milik Saipul Hizam Abdullah dengan 320 mata manakala Mohd. Umarol Ikmal Boolkis di tempat ketiga dengan 279 mata.
Bagi kategori Sri Kandi (Wanita), Nurhidayah Suhaimi muncul pemenang selepas mengumpul mata tertinggi sebanyak 362 mata dari tiga kategori iaitu 15, 20 dan 30 meter.
Tempat kedua disandang Ritzawaty Mohd. Shukeri dengan 339 mata. Sementara itu, Jalimawati Razali di tempat ketiga dengan mengumpul 295 mata.
Pemenang tempat pertama hingga kelima menerima hadiah wang tunai beserta hamper. Berbanding hadiah berupa hamper diterima pemanah yang menduduki tempat keenam hingga ke-15.






