PRISCA EMPIANG ROBIN
BUKU berjudul Aku Novelis Remaja hasil tulisan Iqmal Izzat, 17, mempunyai 171 muka surat dan isu kandungan buku ini dipecahkan kepada tiga bahagian.
Buku ini merupakan perkongsian penulis dalam cabarannya menempuh rintangan sebagai penulis muda.
Ia juga panduan, pengalaman, teladan serta ilmu kepada penulis baharu. Setiap bahagian dalam buku ini menceritakan tentang kisah penulis, proses menulis buku dan contoh cerpen.
Bab satu dalam bahagian pertama, pembaca mengetahui bahawa penulis mula berminat untuk membaca melalui ibunya.
Disebabkan minat membaca yang sangat mendalam, dia berjaya menerbitkan karya pertama seawal usia 15 tahun.
Dalam buku ini, penulis berkongsi detik-detik dia mula masuk ke dalam dunia penulisan ketika meneroka Google untuk menghasilkan blog sendiri.
Melalui blog tersebut, dia mula meluahkan fantasinya sebagi “budak-budak” untuk kepuasan diri sahaja.
Budak sekolah menjadi tema utama blog pada ketika itu.
MELUAH DENGAN MENULIS
Apabila saya baca lebih lanjut, saya dapati penulis suka meneroka dan mencuba pelbagai cara untuk mengungkapkan perasaannya atau pemikiran dengan menulis.
Perasaan ingin tahu yang tinggi membuatkan penulis rajin mencari perkara baharu di Internet dan akhirnya terjumpa Wattpad.
Sejak itu, penulis pun berakhir daripada blog kepada Wattpad kerana dia dapat menulis novel.
Di samping itu, Iqmal turut berkongsi tentang cabaran emosi yang dihadapinya apabila dia hilang semangat untuk menulis kerana takut karyanya tidak mendapat sambutan pembaca.
Namun, semuanya berubah apabila dia sedar bahawa sentiasa ada pembaca yang menanti karyanya.
Dalam bab 16, Iqmal berkongsi peristiwa yang sentiasa dalam ingatannya apabila dia dituduh meniru hasil karya seseorang. Iqmal menggambarkan kejadian tersebut tidak perlu diperbesar dan sekadar menegur secara peribadi.
Seterusnya, penulis berkongsi cabaran dihadapinya sebagai pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pereka grafi k sambilan.
Dia menasihati diri sendiri untuk kekal tabah walaupun onak dan duri tidak berhenti merejam diri yang terluka — apabila apa-apa yang kita inginkan tidak seperti yang kita mahukan.
Ia dilihat sebagai sebuah nasihat membina kerana kadangkala kita hanya merungut apabila ada sesuatu yang tidak baik menimpa, namun kita jarang melihat ke arah positif.
RUJUKAN
Sementara itu, bahagian kedua, penulis berkongsi tentang panduan dan asas kepada mereka yang ingin menulis sebagai rujukan pembaca.
Panduan yang dia kongsikan semuanya berdasarkan pengalaman ketika berada dalam bidang penulisan.
Dia juga berkongsi bahawa, setiap penulis mempunyai ciri-ciri istimewa dalam berkarya.
Oleh itu, penulis baharu, ujarnya jangan takut untuk mula berkarya kerana tiada istilah betul atau salah dalam memulakan penulisan.
Panduan yang dikongsikan sangat mudah untuk difahami. Iqmal turut memberi contoh untuk menggunakan teknik yang dia kongsikan serta latihan kepada penulis.
Pada bahagian ketiga, Iqmal berkongsi dengan pembaca contoh cerpen yang pernah dia hasilkan.
Walaupun penggunaan bahasa yang mudah, pembaca seperti saya menyukai cerpen yang dihasilkan kerana penceritaan yang santai, tetapi padat.
Saya dapati buku ini banyak menggunakan ilustrasi bersesuaian dengan cerita penulis.
Ilustrasi mudah difahami ini meningkatkan fahaman pembaca ketika membaca buku.
Selain itu, pendekatan penulis untuk menggunakan ilustrasi terbukti berkesan kerana saya dapat menghabiskan buku ini tidak sampai dua jam kerana penulisannya seakan-akan bercakap dengan saya.
Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa yang mudah difahami tanpa maksud tersirat juga menjadi faktor buku ini sangat bagus untuk dibaca oleh semua lapisan masyarakat.
Penulis juga suka berkongsi ayat motivasi, peribahasa dan mutiara kata yang dapat membantu meningkatkan kosa kata pembaca.



