SAYA berehat sebentar daripada kesibukan tugas hakiki, hampir dua minggu ekoran banyak perkara perlu dilangsaikan.
Selepas membuat liputan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Zon Betong tempoh hari, saya terus bercuti.
Saya melalui perjalanan panjang ke Marudi untuk menghadiri majlis perkahwinan adik ipar.
Mujur sebelum banjir teruk melanda Sarawak, khususnya di Bintulu dan Miri.
Dan kini berlaku gelombang kedua. Syukur Yang Maha Esa memudahkan segala urusan kami.
Dalam kesempatan itu, sempat berjalan-jalan melihat keindahan tempat orang.
Namun, topik utama menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi adalah peralatan sekolah anakanak.
Bagi yang sudah biasa, pandailah mengatur perbelanjaan.
Bagaimanapun, cabarannya tahun ini lain macam… selepas pembukaan sekolah pada 17 Februari ini, lebih kurang dua minggu selepas itu tiba Ramadan.
Jadi, pastinya memerlukan banyak perbelanjaan.
Saya kira, perbelanjaan bagi seorang anak yang bersekolah sudah terasa kesan kewangannya.
Apatah lagi, mereka yang anak ramai.
Kalau RM500 mesti tidak ke mana-mana.
Saya kongsikan serba sedikit tip mengurus perbelanjaan menjelang sesi pembukaan sekolah, yang pastinya memerlukan perancangan teliti.
Tujuannya, supaya tidak membebankan kewangan keluarga.
Ibu bapa, tolong buat senarai semak keperluan seperti pakaian seragam, kasut, beg sekolah, alat tulis, buku, dan yuran sekolah.
Gunakan senarai rasmi daripada pihak sekolah untuk memastikan tiada keperluan yang tertinggal. Jangan lupa juga semak barang sedia ada.
Dan jangan risau tentang konsep kitar semula — kita yang tanggung, bukan orang lain.
Maksud saya di sini, periksa pakaian dan peralatan sekolah tahun lepas yang masih boleh digunakan untuk mengelakkan pembaziran.
Guna semula alat tulis atau buku yang masih elok.
Kalau ada bajet tidak salah untuk menggunakan peralatan dan perkakas serba baharu.
Namun, ukur baju di badan sendiri.
Ibu bapa mesti menetapkan bajet dengan menentukan jumlah wang yang boleh dibelanjakan tanpa menjejaskan perbelanjaan lain.
Utamakan keperluan penting dahulu sebelum kehendak.
Saya kira semua kita faham tentang keperluan dan kehendak.
Keperluan merujuk kepada perkara asas yang diperlukan untuk kehidupan atau sesuatu tujuan.
Sementara kehendak ialah perkara yang diinginkan tetapi tidak semestinya diperlukan.
Keperluan ini untuk mudah faham, jika tiada, boleh menyebabkan kesukaran atau masalah.
Biasanya berkaitan dengan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, dan pendidikan.
Misalnya, kalau bercakap tentang keperluan anak-anak ke sekolah, mesti ada buku teks, pakaian seragam, kasut sekolah, alat tulis asas dan sebagainya.
Kehendak pula, jika tiada, tidak akan memberi kesan besar kepada keperluan asas.
Biasanya berkaitan dengan kemewahan, gaya hidup, atau keselesaan tambahan.
Contoh mudah untuk bersekolah, beg sekolah berjenama, alat tulis mahal, kasut berfesyen, tablet atau gajet canggih.
Pun demikian, jika ada lebihan bajet, bolehlah mempertimbangkan kehendak, tetapi dengan bijak dan mengikut kemampuan.
Ibu bapa juga harus bijak membandingkan harga, di samping mencari promosi (harga lebih murah).
Ketika ke Miri, inilah yang saya dan isteri lakukan. Jika nampak kedai buat promosi, ambil peluang.
Dan lazimnya menjelang pembukaan sesi persekolahan, akan ada jualan kembali ke sekolah untuk mendapatkan harga yang lebih murah.
Jangan lupa bandingkan harga antara kedai fizikal dan dalam talian.
Satu perkara lagi yang harus ibu bapa ambil berat, menyediakan dana kecemasan.
Kita sebenarnya tahu bahawa pembukaan sesi persekolahan sangat dekat dengan puasa dan Aidilfitri.
Maka, berusaha simpan sedikit wang untuk keperluan tambahan yang mungkin muncul selepas sesi persekolahan bermula.
Dalam masa sama, manfaatkan bantuan atau insentif kerajaan seperti Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150.
Betul, mungkin tidak mencukupi, tetapi saya yakin sangat membantu.
Dengan perancangan yang baik, perbelanjaan untuk sesi persekolahan dapat diurus dengan lebih berkesan tanpa memberi tekanan kepada kewangan keluarga.
Berbaki dua minggu sebelum tamatnya cuti dan sekolah bermula, manfaatkan ruang masa sebaik mungkin.
Bagi mereka yang masih terkesan akibat banjir, anak-anak bantulah ibu bapa menguruskan rumah.
Anak-anak boleh memainkan peranan penting dengan cara yang sesuai mengikut kemampuan masingmasing.
Misalnya, membantu membersihkan rumah dengan mengemas dan menyusun semula barang yang berselerak selepas banjir.
Mengangkat perabot ringan atau barang kecil ke tempat selamat.
Mengelap dan mengeringkan peralatan rumah yang basah.
Selain itu, menjaga adik-adik supaya ibu bapa boleh memberi tumpuan kepada kerja pembersihan.
Menolong memasak atau menyediakan makanan, membantu mengemas pakaian yang telah dibasuh dan menjemurnya.
Dalam keadaan yang mengizinkan, luangkan masa bersama-sama jiran membersihkan kawasan rumah dan jalan sekitar.
Paling utama, menjaga keselamatan diri dan ahli keluarga dengan mengelakkan bermain di kawasan air banjir yang berbahaya.
Memastikan adik-adik tidak bermain dengan peralatan elektrik yang basah.
Memberi perhatian kepada sebarang amaran atau arahan daripada pihak berkuasa.
Sebagai anak-anak, kita juga harus memberikan kata-kata semangat kepada ibu bapa dan ahli keluarga lain.
Tunjukkan sikap sabar dan memahami keadaan yang sukar.
Tuntasnya, dengan kerjasama antara anak-anak dan ibu bapa, proses pemulihan selepas banjir dapat dilakukan dengan lebih mudah dan cepat terutama menjelang musim pembukaan sekolah nanti.



