Cabaran wartawan dan kebebasan akhbar

KEWARTAWANAN Tanpa Rasa Takut Atau Berpihak” dipilih sebagai tema Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang disambut pada 3 Mei setiap tahun sejak 1993.

Kata sepakat mengenai sambutan tersebut diisytiharkan ketika Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1993. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebebasan akhbar.

Laporan terkini yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders 2020 menyaksikan, Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia meletakkan Malaysia di tangga ke-101 daripada 180 negara yang disenaraikan.

Bagi Malaysia, ia merupakan satu sejarah, lonjakan yang agak besar, 22 anak tangga, untuk mengatasi negara-negara Asean yang lain seperti Indonesia (119), Filipina (136), Thailand (140), Mynmar (139), Cambodia (144), Brunei (152), Singapura (158), Laos (172) dan Vietnam (178).

Sebelum ini Malaysia sering kali berada di tangga ke-140 hingga 150 kerana dikategorikan sebagai “tidak bebas” ekoran beberapa isu penting yang tidak dapat dielakkan. Antaranya dasar pemilikan yang terhad dan dominasi beberapa organisasi media gergasi, selain dikaitkan dengan kerajaan yang memerintah.

Namun perubahan sekarang ini adalah sejajar dengan pertukaran landskap politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum (PRU 2018) serta kebebasan bersuara yang lebih tinggi.

Kebebasan akhbar tidak harus disalah tafsir. Ia bukanlah kebebasan mutlak untuk bertindak sesuka hati, tanpa memikirkan sensitiviti, lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia yang rakyatnya hidup dalam kepelbagaian kaum, bangsa dan agama.

Kebebasan yang wajar kita tonjolkan ialah kebebasan yang bertanggungjawab. Sudut pandang dalam kebebasan hendaklah berlandaskan fakta dan huraian yang munasabah, bukannya kecaman atau kritikan membuta tuli yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat dan menyebabkan huru-hara.

Lebih-lebih lagi isi kandungan akhbar yang boleh mencetuskan provokasi yang tidak sepatutnya, sesuatu yang boleh menjatuhkan moral pembaca, atau mereka yang mempunyai pengaruh kuat dalam masyarakat. Inilah yang membezakan kefahaman dan amalan kebebasan akhbar di Barat dan negara lain yang berlainan dari sudut budaya dan agama.

Walau apapun, peranan wartawan dalam membawa informasi terkini dan sahih untuk khalayak masyarakat wajar dihargai dan dihormati. Oleh itu ruang kebebasan untuk wartawan bersuara secara lantang dan tidak terlalu bias amatlah penting, selagi ia berlandaskan prinsip dan amalan etika kewartawanan.

Di sinilah peranan wartawan dan akhbar yang bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi berfungsi sebagai pemerhati atau pengkaji, terutama dalam aspek semak dan imbang bagi memastikan setiap pandangan dan pendapat boleh diterima dengan hati terbuka.

Oleh itu, usaha yang telah lama dilakukan iaitu penubuhan Majlis Media adalah wajar bagi mengawal industri media secara bebas.

Ia adalah antara langkah strategik bagi mewujudkan media bebas, wartawan tidak gentar dan takut terhadap tindakan undang-undang seperti hari ini. Ia merangkumi undang-undang kawalan penggabungan media, kebebasan editorial, kebebasan organisasi media, profesionalisme kewartawanan, hubungan antara media dengan ahli politik dan yang berkaitan.