KUCHING: Tiket penerbangan percuma ke empat lokasi merangkumi Brisbane, (Autralia), Paris (Francis), Chiang Mai (Thailand) dan Danang (Vietnam) antara tawaran khas sempena Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) “MATTA Fair” Sarawak di pusat beli-belah Boulevard bermula 23 hingga 25 Ogos 2025.
Pengerusi MATTA Sarawak Chapter, Oscar Choo menegaskan lebih 60 reruai pameran akan didirikan, sekali gus berharap pameran tersebut mampu menarik 8,000 atau lebih pengunjung per hari seperti penganjurannya sebelum ini.
Menurutnya, jumlah jualan tiket hasil pameran sebelum ini telah mencecah kepada RM11 juta.
“Kami amat teruja untuk mengumumkan bahawa Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) akan memberikan dua tiket penerbangan pergi balik bermula dari Kuching ke Brisbane, Kuching ke Paris, Kuching ke Chiang Mai, Kuching ke Danang, Kuching ke Kuala Lumpur, dan Kuala Lumpur ke Sibu sebagai sebahagian pertandingan pembeli pada tahun ini.
“Selain MAG, penaja lain iaitu MASWINGS akan memberikan lima tiket pergi balik mengikut destinasi MASWINGS dan SCOOT juga menyumbangkan satu tiket pergi balik ke Perth dan Singapura,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media Pameran Pelancongan MATTA Sarawak Edisi Kedua Tahun 2025 di bangunan MATTA Sarawak Chapter, hari ini.
Para pengunjung diharap dapat hadir di pameran yang akan dibuka seawal jam 10 pagi hingga 10 malam bagi merebut peluang tersebut di samping memilih destinasi impian menerusi reruai pameran pelancongan yang disediakan.
Beliau berharap pertandingan pembelian ini akan menjadi motivasi tambahan kepada para pengunjung untuk membeli pakej pelancongan semasa pameran.


