ARTIKEL

Dr. Lee Kuok Tiung

Cadang skim saraan ahli politik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu wajar dirangka bagi memperjelaskan hak dan skim saraan ahli politik, khususnya melibatkan bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menurut Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lee Kuok Tiung, langkah ini penting kerana sistem saraan sedia ada hanya terpakai kepada penjawat awam, dan tidak merangkumi ahli politik.

Beliau berkata, perkara ini sejajar dengan takrif dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan, yang tidak mengiktiraf senator lantikan atau wakil rakyat Dewan Rakyat sebagai penjawat awam.

“Ini turut melibatkan tafsiran lanjut berhubung perlindungan hak pencen sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, bekas Ahli Parlimen dan ADUN boleh mencadangkan RUU baharu berkenaan hak atau skim saraan khusus untuk ahli politik,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Dr. Lee turut mencadangkan agar perkara ini dimasukkan sebagai sebahagian daripada agenda utama dalam reformasi Parlimen.

Isu ini timbul susulan tindakan sekumpulan bekas senator yang diketuai Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang, memfailkan saman pemula pada 15 Ogos 2019 untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka berhak kepada pengiraan semula pencen berdasarkan semakan gaji yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2015.

Mereka menamakan Ketua Pentadbir Parlimen dan Kerajaan sebagai responden. Walaupun permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2020, ia kemudiannya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.

Namun begitu, Mahkamah Persekutuan pada 7 April memutuskan bahawa Ahli Parlimen dan senator bersara tidak berhak menikmati kenaikan pencen selepas semakan gaji dibuat.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim menjelaskan bahawa hak kepada semakan tersebut hanyalah bersifat bersyarat atau hak pada masa hadapan, dan masih belum diperoleh.
Beliau turut menegaskan bahawa senator lantikan dan wakil rakyat Dewan Rakyat bukan penjawat awam sebagaimana yang ditakrifkan dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan.

Manakala, hak pencen penjawat awam dilindungi di bawah Perkara 147, yang memperuntukkan bahawa sebarang skim pencen baharu tidak boleh memberi faedah yang lebih rendah daripada undang-undang yang sedia ada.

Mengulas lanjut, Dr. Lee berkata keputusan tersebut memperjelas perbezaan antara wakil rakyat yang bersifat politik dengan penjawat awam yang tertakluk di bawah sistem perkhidmatan awam — sekali gus menutup ruang kepada tafsiran yang longgar.

“Ramai pihak, terutamanya dalam kalangan rakyat marhaen, pasti melihat keputusan Mahkamah Persekutuan ini sebagai satu langkah keadilan sosial yang amat wajar.

“Ini memandangkan persepsi awam yang sering kali mengaitkan layanan istimewa terhadap golongan elit politik. Maka, keputusan ini dapat dilihat sebagai satu prinsip semak dan imbang antara kepentingan elit dan rakyat,” katanya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha