SARIKEI: Cadangan pembesaran dan naik taraf prasarana Klinik Kesihatan Bintangor akan diperhalusi demi menampung akses kesihatan penduduk di kawasan itu yang kian bertambah.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kunjungannya ke Klinik Kesihatan Bintangor bertujuan melihat sendiri perancangan masa hadapan fasiliti kesihatan tersebut berikutan permintaan pembesarannya.
Sehubungan itu katanya, beliau mahu pegawai kesihatan bahagian supaya bekerjasama dengan wakil rakyat setempat untuk membuat pilihan lain sebagai alternatif mendapatkan tapak yang bersesuaian berikutan ruang sedia ada yang terhad.
“Selain itu, saya juga menerima permohonan menaiktaraf klinik pergigian memandangkan klinik yang sedia ada sangat kecil.
“Saya telah menerima kertas kerja dan akan membawanya ke ibu pejabat untuk dinilai,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Bintangor, petang Selasa.
Menyentuh rumah kediaman untuk kakitangan perubatan di Bahagian Sarikei, Lukanisman menjelaskan, setakat ini keperluan itu masih mencukupi.
Namun dalam skop pembangunan sesebuah klinik ujarnya, kerajaan tetap akan memberi tumpuan pembinaan kediaman yang lebih selesa untuk kakitangan.



