KUCHING: Cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka tidak mengubah kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara signifikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang meskipun ia membuka lebih banyak ruang kepada pembangkang.
Penganalisis politik Profesor Dr Azmi Hassan berkata, ini kerana sebahagian besar cadangan persempadanan semula melibatkan kawasan yang ketika ini merupakan asas sokongan GPS.
“Pertambahan kerusi sememangnya memberi peluang kepada pembangkang untuk bertanding di lebih banyak kawasan.
“Namun, sebahagian besar persempadanan yang dicadangkan melibatkan kawasan sedia ada yang menjadi kekuatan GPS.
“Lebih banyak kerusi bermakna lebih ramai calon akan bertanding, tetapi pada masa ini GPS masih mempunyai sokongan yang kukuh untuk ditandingi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dokumen SPR berhubung permohonan kepada PBT untuk menyediakan ruang pameran cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak yang dijangka menambah jumlah kerusi daripada 82 kepada 99.
Ditanya sama ada dokumen berkenaan memberi bayangan PRN akan diadakan dalam masa terdekat, Dr Azmi berkata fokus kini adalah kepada penyelesaian proses persempadanan semula sebelum penggal DUN berakhir pada Februari 2027.
Jelasnya, tempoh dari sekarang hingga Februari tahun depan masih mencukupi untuk melengkapkan proses berkenaan.
“Bagi saya, isu utamanya bukan sama ada PRN diadakan dalam masa terdekat, tetapi sama ada proses persempadanan semula sempat dimuktamadkan. Tempoh sekitar enam bulan saya lihat mencukupi untuk tujuan itu,” ujarnya.
Menerusi surat bertarikh 25 Jun 2026, SPR memaklumkan kepada Pengarah Unit Pentadbiran di Jabatan Premier Sarawak bahawa pihaknya merancang memasang papan pameran di pejabat majlis perbandaran, majlis daerah dan pejabat daerah di 31 kawasan Parlimen di seluruh Sarawak.
Menurut surat yang ditandatangani Pengarah SPR Sarawak Abang Noraffian Abang Ibrahim, pameran itu bertujuan memaparkan secara fizikal draf pelan dan pelan warta persempadanan bagi Kajian Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak Ketujuh mengikut tempoh yang akan ditetapkan oleh SPR.
Surat tersebut turut disertakan lampiran yang mengandungi cadangan kerusi baharu serta nama baharu bagi beberapa kawasan pilihan raya.
Antara kerusi baharu yang dicadangkan ialah Serayan, Jagoi dan Singai di bawah Parlimen Mas Gading; Pasir Pandak (Santubong); Matang dan Semarak (Petra Jaya); Maong (Stampin); Tabuan Jaya (Bandar Kuching); Samarindah (Kota Samarahan); Sungai Serin dan Bung Sadong (Puncak Borneo); Muara Lassa (Tanjung Manis); Tanah Mas (Lanang); Sungai Merah, Bukit Kemuyang dan Rasau (Sibu); Melekun (Kapit); Jepak Jaya dan Batu Niah (Bintulu); Bukit Beraya (Sibuti); Permaisuri, Tudan dan Lopeng (Miri); Usun Apau (Baram); Gunung Murud (Lawas); serta Matu dan Igan di bawah Parlimen Batang Lassa yang dicadangkan sebagai nama baharu bagi Parlimen Igan.






