ARTIKEL

Hadirin merakam foto kenangan sempena program penerangan KSP Sarawak anjuran ROSE. Foto Ghazali Bujang

Cadangan Sempadan DUN Sarawak: SPR masih dalam proses semakan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini berada pada langkah keempat daripada 16 langkah yang perlu dilalui sebelum cadangan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dapat dikuatkuasakan.

Ahli SPR, Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis berkata, keseluruhan proses Kajian Semula Persempadanan (KSP) itu tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan di bawah Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan dan bukannya prosedur operasi standard (SOP) dalaman suruhanjaya berkenaan.

Beliau berkata, persoalan sama ada 17 kerusi baharu itu sempat digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang bergantung kepada keseluruhan proses yang perlu dilalui, termasuk tindakan selepas SPR menyiapkan kajian berkenaan.

“Saya ingin tekankan bahawa untuk melengkapkan Kajian Semula Persempadanan ini, tatacara, proses dan langkah-langkahnya dijelaskan dalam Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan. Ini bukan SOP dalaman SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan mengenai proses Kajian Semula Persempadanan (KSP) Sarawak anjuran Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE), di sebuah hotel di sini malam tadi.

Faisal berkata, SPR melengkapkan tiga langkah awal iaitu menyediakan syor, memaklumkan syor tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat dan Perdana Menteri serta mengeluarkan notis warta.

Notis warta berhubung cadangan kajian semula itu dikeluarkan pada 1 September lalu, sekali gus menandakan bermulanya proses pameran pertama kepada orang ramai.

Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis memberi penerangan berkaitan KSP Sarawak. Foto Ghazali Bujang

Beliau menjelaskan, representasi yang memenuhi syarat akan melalui proses siasatan tempatan yang merupakan langkah seterusnya dalam kajian berkenaan.

SPR kemudiannya akan meneliti semula draf syor berdasarkan representasi dan siasatan tempatan yang dijalankan sebelum mengadakan pameran kali kedua sekiranya terdapat pindaan atau penambahbaikan cadangan awal.

Menurutnya, tugas SPR dalam proses KSP akan selesai selepas laporan terakhir diserahkan kepada Perdana Menteri berikutan tamatnya proses pameran dan siasatan tempatan.

Katanya, tempoh maksimum dua tahun yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan bagi melengkapkan kajian semula persempadanan itu perlu dipatuhi dalam pelaksanaan proses di peringkat SPR.

“Selepas kita menyerahkan laporan terakhir kepada Perdana Menteri, proses Kajian Semula Persempadanan di peringkat SPR sudah selesai.

“Selepas itu, Perdana Menteri pula mempunyai fungsi tersendiri, iaitu membawa laporan tersebut ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan majoriti mudah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kelulusan laporan berkenaan perlu diperoleh di Parlimen dan bukannya di DUN Sarawak.

Sehubungan itu, Faisal berkata, SPR tidak dapat memberikan jaminan sama ada 17 kerusi baharu berkenaan sempat digunakan pada PRN Sarawak akan datang kerana terdapat proses lain yang perlu dilalui selepas kajian di peringkat suruhanjaya selesai.

“Apabila orang bertanya sama ada sempat atau tidak, kita mempunyai tempoh dua tahun untuk menyelesaikan proses di peringkat SPR.

“Selepas itu, ia berada di tangan Perdana Menteri dan kita juga tidak tahu bila DUN Sarawak akan dibubarkan,” katanya.

Untuk rekod, DUN Sarawak akan terbubar secara automatik pada 14 Februari 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan