KUCHING: Atlet renang Sarawak Kelly Teo Yao terus mencipta sensasi apabila menggondol satu lagi pingat emas dan satu gangsa di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, hari ini.
Dengan kemenangan hari ini, atlet berusia 18 tahun ini membolot enam pingat emas, satu perak dan dua gangsa bagi skuad akuatik renang pada penampilan SUKMA keduanya kali ini.
Kemenangan emas Kelly hari ini juga memecah sasaran Sarawak yang menyasarkan 70 pingat apabila beliau merupakan atlet ke-70 yang menyumbang pingat emas kepada negeri ini.
Pada acara 1500m gaya bebas wanita hari ini, Kelly berjaya mengungguli persaingan dengan catatan masa 17:56:21s, mengatasi pesaingnya dari Sabah, Chu Xin Ying, yang mencatat masa 18:10:61s, untuk merangkul pingat emas.
Selain itu, Kelly turut menambah koleksi pingatnya dengan meraih gangsa dalam acara hari ini, 100m gaya kuak lentang wanita. Beliau mencatat masa 1:07:38s, di belakang Vivian Xin Ling Tee dari Pulau Pinang (1:06:85s) yang meraih perak, dan Chong Xin Lin dari Wilayah Persekutuan yang memenangi emas dengan masa 1:04:06s.



