KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak enggan berkongsi calon Perdana Menteri baharu pilihannya kepada pihak Istana Negara.
Bagaimanapun beliau melahirkan rasa lega dan bersyukur dengan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Riíayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjalan lancar semalam.
“Bagus. Alhamdulillah, (jumpa) seorang-seorang, tiap-tiap orang, terpulang kepada tuanku (sesi temu bual). “(Apa nama yang dicadangkan?) Itu tak bolehlah, itu rahsia,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui pemberita di luar pintu Istana Negara petang semalam.
Bekas Perdana Menteri itu antara 90 ahli Parlimen yang diundang YDPA ke Istana Negara bagi menghadiri sesi temu bual bersama baginda.
Sesi temu bual yang mengambil masa dua hingga tiga minit bagi setiap ahli Parlimen itu dilakukan oleh Baginda sendiri yang bermula sejak 2.30 petang semalam.
Sesi temu bual ahli Parlimen dengan YDPA semalam membabitkan 90 orang dan baki daripada 222 kawasan Parlimen akan disambung hari ini.