NAMA penyanyi jelita dan berbakat besar, Candy Dylam terus menjulang dalam industri muzik Dayak dan mendapat pengiktirafan umum.
Dia tidak pernah menghampakan peminat yang sentiasa menantikan lagulagunya.
Baru-baru ini, Candy muncul dengan lagu terbaharu berjudul Semina Nawih yang dimuat naik di saluran YouTube Twin Tone Production (TTP) pada 30 Ogos lalu.
Kira-kira tiga minggu selepas dimuat naik, lagu itu ditonton lebih 10,000 kali serta menerima maklum balas positif daripada orang ramai. Menurut Candy, lagu tersebut berkisarkan tentang seorang wanita yang jatuh cinta dengan seorang lelaki tampan sehingga membuatkannya gila bayang.
“Lelaki itu sangat kacak, berkulit cerah dan pandai bergaya.
Tambahan pula, senyumannya yang manis membuatkan wanita itu gila bayang, siang malam teringatingat,” katanya sambil meniru gaya wanita dalam lagu tersebut.
Namun, Candy menegaskan bahawa kisah dalam lagu itu hanya rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan kehidupan peribadinya.
Menurut artis berusia 35 tahun itu, Semina Nawih mempunyai keunikan tersendiri kerana berirama rancak berentak cha-cha yang mudah didengar dan menimbulkan perasaan positif.
Beliau mula meminati bidang nyanyian sejak berusia lapan tahun dengan menyertai pelbagai pertandingan anjuran sekolah, jawatankuasa kampung dan pertubuhan luar.
Pada 2015, Candy menyertai program ujian bakat anjuran Irama Production Union di Sibu, sekali gus menjadi titik permulaannya dalam dunia hiburan Dayak.
Sejak itu, Candy melancarkan beberapa album dan single termasuk Enda Nyangka Nuan Nyimpan Pengerindu, Bujang Bebaju Ginggang, Diketek Aja, Bujang Ining, serta Anang Bemain Enggau Ati.
Hingga kini, beliau sudah menghasilkan 28 lagu, termasuk lagu Gawai Dayak.
Bagi Candy, perjalanan dalam dunia hiburan banyak memberi kenangan manis, antaranya peluang beraksi bersama artis veteran, membuat persembahan di hadapan orang kenamaan, serta di program besar peringkat negeri.
“Matlamat kami sama, iaitu menghiburkan orang ramai dan memartabatkan muzik Dayak ke peringkat lebih tinggi. Saya berharap dapat terus menghasilkan karya berkualiti pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum menutup temu bual, Candy tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada peminat, rakan industri, keluarga serta stesen radio yang sentiasa menyokong kerjayanya.






