MIRI: Isu mengenai ketidakupayaan murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas membaca perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia dikhuatiri akan memberi kesan terhadap perkembangan diri pelajar.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, isu ini juga akan mempengaruhi usaha mereka untuk mengubah nasib kehidupan keluarga mereka, khasnya golongan kurang berkemampuan.
Justeru itu katanya, semua pihak yang terlibat perlu bertindak dengan segera serta mencari penyelesaian dalam usaha mengatasi masalah berkenaan daripada menjadi semakin berpanjangan.
“Memetik laporan Bank Dunia untuk artikel ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’, ia memberitahu seramai 42 peratus murid di negara ini masih gagal mencapai kecekapan membaca pada penghujung Tahun Lima iaitu lebih tinggi daripada negara lain.
“Di Malaysia, murid yang tidak mencapai penguasaan membaca, mengira dan memahami apabila mereka berada di Tahun Lima dan keadaan menjadi lebih teruk apabila mereka berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Perkara ini amat serius dan saya membawa isu ini ke Parlimen, serta mencadangkan agar mengadakan program yang memupuk minat murid untuk membaca, khususnya di sekolah-sekolah rendah di sekitar kawasan Miri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung ke-16 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) St Columba di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha untuk memupuk tabiat membaca merupakan cabaran terbesar buat generasi baharu pada masa kini yang berdepan dengan pelbagai tarikan lain, termasuk pengaruh media sosial.
Oleh itu katanya, kerjasama daripada pihak sekolah adalah diperlukan bagi menganjurkan aktiviti seperti program minggu membaca untuk menarik minat murid membaca dan juga meningkatkan pemahaman mereka.
Pada mesyuarat tersebut, Chiew telah mengumumkan peruntukan geran berjumlah RM100,000 sebagai dana buat PIBG sekolah tersebut untuk menaik taraf dewan sekolah.
Selain itu, beliau juga akan memperjuangkan peruntukan tambahan bagi pendidikan, memperkenalkan dasar-dasar progresif dan memastikan setiap suara didengar dan dipertimbangkan dalam proses membuat keputusan.
“Sebagai wakil rakyat di Parlimen Miri, saya berjanji untuk terus menyokong pendidikan dan sekolah-sekolah dalam bidang kuasa saya.
“Ini kerana pendidikan adalah asas pembangunan negara dan oleh kerana itu, kita tidak boleh mengabaikan kepentingannya,” ujarnya.





