Cawangan baharu Red Bundle diserbu 4,000 pengunjung

SIBU: Kedai jualan barangan terkenal, Red Bundle terus melebarkan sayapnya sebaik sahaja cawangan kelima di Jalan Lanang Sibu dirasmikan semalam.

Menurut Penasihat Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Dato Wan Abdillah Edruce Red Bundle yang merupakan perniagaan dimiliki oleh peniaga bumiputera itu kini dilihat semakin berkembang sehingga berjaya membuka sebanyak lima cawangan di negeri ini.

“Kedai pakaian terpakai semakin digemari oleh segenap masyarakat setempat, kewujudannya umpama cendawan tumbuh selepas hujan di sekitar negeri ini.

“Saya turut berbangga melihat perkembangan ini dan Red Bundle adalah satu-satunya perniagaan yang sedang diusahakan oleh anak jati Sarawak sendiri,” katanya selepas merasmikan cawangan kelima Red Bundle dekat Jalan Lanang semalam.

Beliau berkata sejak beberapa tahun ini, kewujudan perniagaan bundle di Sarawak ini adalah merupakan satu fenomena baharu bagi masyarakat tidak mengira kaum yang terus sakan membeli barangan terpakai yang berkualiti tinggi.

“Situasi ini dikatakan berkait rapat dengan kos hidup yang tinggi menyebabkan ramai pembeli melihat bundle sebagai alternatif jimat untuk memiliki pakaian berjenama, murah tapi bergaya.

“Atas sebab itu, barangan bundle ini mempunyai nilainya yang tersendiri,” katanya.

Beliau turut menyokong sepenuhnya pembukaan kedai bundle di negeri ini kerana ia sekaligus memberi manfaat dan kelebihan kepada peminat bundle untuk membeli barangan murah yang berjenama dan bekualiti.

Dalam pada itu, Pengusaha Red Bundle, Ismandi Labot berkata cawangan kelima telah secara rasminya dibuka kepada orang ramai bermula pagi ini dan kira-kira 4,000 pengunjung telah datang bagi membeli barangan terpakai itu.

“Saya sungguh tidak menyangka kehadiran pengunjung yang datang bersempena pembukaan hari pertama Red Bundle hari ini, sambutan yang diberikan sungguh menggalakkan.

“Seawal pagi kedai (Red Bundle) telah diserbu oleh pengunjung untuk membeli-belah barangan terpakai walaupun pembukaan rasminya bermula pada jam 9 pagi,”katanya

Jelasnya lagu pengunjung seakan-akan begitu ’emosi’ dan teruja sebaik sahaja acara membelah guni barangan campuran yang menghimpunkan lebih daripada 20,000 helai pakaian wanita dan lelaki, pakaian kanak-kanak dan banyak lagi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengunjung yang datang membeli barangan terpakai dan kita akan meneruskan jualan pelbagai barangaan terpakai dengan harga mampu milik.

“Pengunjung yang hadir di kedai Red Bundle daripada bahagian Sarikei, Sibu, Kuching, Bintulu, Miri, Mukah, Kanowit, Julau serta daerah Bintangor dan ramai lagi turut memeriahkan antara ribuan pengunjung yang memeriahkan pembukaan cawangan Red Bundle terbaharu itu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Raee Hohari, 63, berkata kerana minatnya terhadap bundle begitu mendalam, dia pasti akan singgah di setiap kedai bundle yang ditemuinya.

“Bagi saya, kedai Red Bundle yang baharu dibuka di bandar Sibu ini dianggap syurga pakaian bundle kerana mempunyai pelbagai koleksi pakaian vintage.

“Sehingga kini saya membelanjakan ribuan ringgit untuk membeli barangan bundle seperti baju, seluar, bag dan kasut dan ada antara pakaian dibeli dijadikan koleksi kerana mempunyai nilai yang tinggi dan sukar diperoleh sekarang,” ujarnya.

Suara Sarawak