KUCHING: Sarawak menjadi negeri ketiga bagi penubuhan kampus Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) selepas Selangor dan Sabah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, usaha itu bagi memperkasakan lebih ramai usahawan di negeri ini selaras memajukan ekosistem keusahawanan di Malaysia Timur.
“Ini membuktikan faktor lokasi bukan penghalang untuk usahawan Sarawak mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kampus INSKEN yang bertapak di Sarawak Plaza, hari ini.
Menurutnya, kampus INSKEN Sarawak dilengkapi dengan bilik latihan yang boleh memuatkan 30 peserta dalam satu masa.
Selain itu katanya, lokasi strategik kampus itu terletak di bandar, memudahkan aksesibiliti kepada semua usahawan dan peserta program dari kawasan sekitar.
“Ia juga memudahkan kerjasama bersama-sama pihak berkepentingan tempatan seperti agensi dan badan kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan INSKEN berjaya melatih seramai 7,418 usahawan setakat Ogos 2023.



