KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menyimpan harta curi seunit rim dan tayar jenis kereta Perodua Myvi milik seorang wanita berusia 38 tahun.
Desmond, 27, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara tidak jujur menyimpan harta curi tersebut di kediamannya di Jalan Kuching-Serian, sekitar jam 10.10 pagi, 25 Jun lepas.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu wanita hendak mengambil keretanya yang ditinggalkan di bengkel aksesori kereta menyedari rim dan tayar kereta bahagian belakang sebelah kiri telah ditukar orang.
Laporan polis dibuat untuk tindakan dan siasatan polis seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah mencuri seunit rim dan tayar milik pengadu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
Semasa kejadian, tertuduh menggunakan sebuah kereta Perodua dengan plat pendaftaran QRS590 dan kereta yang digunakan tertuduh disahkan oleh saksi kejadian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


