Ceko, Sapi dan Batu dalam kenangan

Semasa zaman kanak-kanak saya, orang Kuching jika hendak ke Kuching, akan memanggil pergi ke pasar.

Perkataan pasar inilah sering digunakan oleh kedua-dua orang tua saya. Mungkin dikaitkan dengan tempat berjual beli di bandar Kuching tersebut.

Antara tempat yang masyhur di Kuching dahulu ialah di Jalan Gambier yang terletak di sebuah pasar basah yang dikenali sebagai Ceko. Di sini terdapat penjual yang menjual pelbagai jenis barang makanan seperti sayuran, daging lembu, rempah giling, air tebu, buah-buahan, kelapa parut, belacan, dan cecaluk.

Di Ceko ini juga terdapat kedai minum bagi pelanggan yang ingin menikmati minuman pagi. Di sini juga terdapatnya penjual sate yang diminati ramai pengunjung di Ceko. Atas kesedapan satenya ia dikenali sebagai sate ceko.

Timbul satu persoalan apakah maksud Ceko? Daripada manakah ia datang? Berdasarkan penelitian saya di perpustakaan Jabatan Muzium Sarawak, nama Ceko dikaitkan dengan duit.

Salah satu artikel diterbitkan pada 1954 dalam the Sarawak Musuem Journal, menyatakan bahawa pada masa dahulu ramai orang Melayu terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan. Mereka membuka gerai-gerai kecil bermodalkan satu dolar.

Peniaga Melayu

Hanya berbekalkan dengan satu dolar, peniaga Melayu menjadi kaya-raya. Malahan mereka mampu membuat rumah yang cantik dan ada juga yang dapat menunaikan haji di Mekah. Sesetengah mereka akan melancong ke luar Sarawak.

Apabila telah ramai orang Cina dialek Hokkian berhijrah ke Kuching, mereka mendapati bahawa perniagaan orang Melayu ini berkembang dan maju. Oleh itu, mereka menggelarkan peniaga Melayu seba- gai Ceko sempena kerajinan dan usaha gigih orang Melayu dalam per- niagaan. Ceko dalam dialek Hokkien ialah satu dolar. Daripada situ maka perkataan ini mula tersebar sehingga kekal ke hari ini.

Ini satu versi tentang bagaimana munculnya nama ini. Mungkin terdapat beberapa lagi pendapat lain mengenai nama pasar ini.

Sepanjang kemunculan Ceko sejak 1930-an, ia menjadi wadah penting bagi penduduk Kuching untuk membeli barang segar dan murah.

Kedudukannya berhampiran dengan Sungai Sarawak pula memberi alternatif bagi sesiapa yang hendak datang ke Ceko sama ada menggunakan jalan darat atau jalan sungai.

Sepanjang deretan Ceko terdapat beberapa pasar lain seperti pasar ayam, pasar ikan dan pasar daging khinzir. Pasar daging khinzir pula terbakar dan dipindahkan ke tempat lain.

Di sebelah hujung Ceko terdapat bangunan yang dikenali sebagai Garment Store Bazaar yang menjual pakaian dan terdapat beberapa kedai keperluan harian lain.

Pasar Ceko

Namun demikian, semua itu menjadi kenangan kerana pasar Ceko dirobohkan pada 2008 dan penjaja-penjajanya dipindahkan ke Pasar Stutong. Sementara itu kedai sate Ceko berpindah ke Jalan Haji Taha sehingga hari ini.

Kini tapak Pasar Ceko menjadi sebahagian daripada pembangunan Kuching dan terdirinya Waterfront.

Satu lagi kenangan yang menarik berkaitan Pasar Ceko ialah terdapatnya beberapa pangkalan untuk perahu tambang atau pak tambang menyeberangi sungai Sarawak.

Pangkalan yang menjadi kenangan saya semasa zaman kanak-kanak ialah pangkalan Batu dan Pangkalan Sapi. Pangkalan Batu berdekatan dengan Pasar Ceko.

Manakala pak tambang akan membawa penumpangnya dari Pengkalan Batu ke Pangkalan Sapi. Tambang waktu itu sekitar 10 sen sahaja.

Jalan pengangkutan ini membawa kepada pembangunan ekonomi kecil-kecilan di Pangkalan Batu dan Pangkalan Sapi. Di Pangkalan Batu terdapat peniaga berjual pisang goreng dan pelbagai kuih untuk penumpang perahu ke Pangkalan Sapi.

Manakala di Pangkalan Sapi tumbuhnya pelbagai jenis gerai makanan dan harian. Pangkalan Sapi juga menghubungkan penduduk di sekitar Kampung Astana dan Kampung Siol Kandis untuk berulang-alik ke Kuching sama ada hendak berkerja, bersiar-siar atau membeli barang.

Suasana ini juga tidak wujud lagi apabila Kampung Astana dipindahkan. Manakala Pangkalan Sapi juga dipindahkan berdekatan dengan Astana.

Kapal Berhias

Kebiasaannya kedua-dua pangkalan ini menjadi tumpuan apabila diadakan lumba perahu dan kapal berhias. Lumba perahu atau regata masih diadakan di Sungai Sarawak, tetapi kapal berhias jarang-jarang diadakan lagi.

Saya masih ingat dahulu semasa perarakan kapal berhias sekitar 1980-an kapal menjadi tumpuan ialah satu replika angsa putih yang besar. Ramai penduduk Kuching tidak melepaskan acara ini yang sering diadakan pada waktu malam.

Sememangnya Ceko dan kawasan berdekatannya mempunyai keistimewaannya sendiri. Ia bukan sahaja sebagai pusat ekonomi, tetapi juga tempat bersosial dalam kalangan penduduk di Sarawak. Penjualnya dan pengunjungnya terdiri daripada pelbagai kaum. Sejarah pasar ini mewarnai sejarah Kuching.

• Dr. Suffian Mansor ialah Pensyarah Kanan Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Kredit Foto: Bestway Tours