ARTIKEL

Dr Andrew (lima kanan) ketika program agihan bubur lambuk di Betong.

CENTEXS Betong santuni komuniti melalui program Ramadan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Betong mengambil dua inisiatif bagi menyantuni penduduk setempat sempena Ramadan, sekali gus menzahirkan komitmen institusi itu dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pengurus Cawangan CENTEXS Betong, Dr Andrew Emparan berkata inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh ukhuwah bersama komuniti melalui pelaksanaan beberapa program kebajikan sepanjang Ramadan tahun ini.

“Syukur, CENTEXS Betong berjaya mengagihkan 500 bungkus bubur lambuk di samping meneruskan momentum kebajikan melalui penganjuran Program Infaq Kasih Ramadan,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.

Beliau berkata program penyediaan dan agihan bubur lambuk yang diadakan secara besar-besaran itu melibatkan penyertaan kakitangan serta pelatih daripada pelbagai bidang kursus di institusi berkenaan.

“Kami berganding bahu menyediakan ramuan dan memasak bubur lambuk secara tradisional di pekarangan kampus.

Dr Andrew menyampaikan sumbangan kepada wakil PAWE semasa Program Infaq Kasih Ramadan di PAWE Betong hari ini.

“Sebanyak 500 pek bubur lambuk yang disediakan khas mengikut resipi tradisi Sarawak berjaya dihasilkan sebelum diagihkan kepada orang ramai di hadapan Pasar Tamu Betong,” ujarnya.

Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja bertujuan berkongsi rezeki, malah menjadi platform interaksi sosial yang mengeratkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Andrew berkata Program Infaq Kasih Ramadan merupakan manifestasi keprihatinan warga CENTEXS terhadap golongan kurang bernasib baik di sekitar Betong.

“Seramai 15 asnaf yang berdaftar di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Betong telah dipilih menerima sumbangan berupa barangan dapur, bekalan makanan kering serta keperluan harian bagi membantu meringankan beban kewangan mereka,” katanya.

Beliau turut memuji komitmen para sukarelawan CENTEXS yang berjaya memberikan sokongan moral kepada penerima, sekali gus membuktikan institusi pendidikan teknikal itu sentiasa cakna terhadap kesejahteraan sosial komuniti sekeliling.

DR ANDREW bergambar kenangan bersama-sama penerima sumbangan Program Infaq Kasih Ramadan di PAWE Betong, hari ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU