KUCHING: CENTEXS Dalat bakal menjadi pusat tumpuan latihan kemahiran baharu di wilayah tengah Sarawak apabila kampus kekalnya yang telah 98 peratus siap dijadualkan mula beroperasi pada September ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perasmian rasmi kampus tersebut akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Oktober.
“Pelajar CENTEXS Dalat yang kini ditempatkan di CENTEXS Mukah akan berpindah sebaik sahaja operasi bermula.
“Kampus tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk asrama lelaki dan perempuan, pusat bahasa, bilik darjah digital, bilik elektrik, bilik fesyen, blok kimpalan serta kursus khas pembinaan bot gentian kaca yang tidak ditawarkan di pusat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, Fatimah berkata, tarikh perasmian CENTEXS Dalat akan turut diserikan dengan Pesta Besaug 2025 edisi ke-25 yang menjadi antara acara terbesar di daerah itu.
“Pesta dwitahunan tersebut akan menampilkan pertandingan bidar, persembahan kebudayaan pada waktu malam dan aktiviti jual beli.
“Aktiviti-aktiviti ini sentiasa menjadi tarikan utama penduduk dan pengunjung luar,” ujarnya.
Sementara itu, Fatimah turut membangkitkan cadangan pembangunan Dalat Boutique Hotel kepada Premier Sarawak yang telah mendapat persetujuan untuk dilaksanakan.
Menurutnya, pembinaan hotel itu akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, manakala operasinya akan diserahkan kepada pihak swasta.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Mukah, Kueh Lei Poh; Pengurus Besar LCDA, Datu Kusyairi Bostani dan Pegawai Daerah Dalat, Matthew Hubert.



