KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) sedang giat membangunkan beberapa program berkaitan kemahiran teknikal dan teknologi tinggi selari dengan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, ia termasuk pembangunan program pelabuhan, lapangan terbang serta teknologi Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
“Di samping itu, CENTEXS Mukah bakal menawarkan program berkaitan Kenderaan Elektrik (EV), termasuk Sijil Penyelenggaraan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) dan Diagnostik Sistem Pengurusan Bateri (BMS) serta Sijil Sistem Kuasa dan Pengurusan Termal Kenderaan Elektrik Bateri (BEV).
“Program ini bertujuan melahirkan tenaga mahir yang mampu menyokong pembangunan industri kenderaan elektrik di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Ke-9 CENTEXS yang disempurnakan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Akademi Aeroangkasa CENTEXS yang dilancarkan pada 8 Oktober 2024, kini mempunyai seramai 98 pelajar mengikuti beberapa kursus yang ditawarkan.
“Antara kursus yang ditawarkan termasuk Sijil Latihan Logam Lembaran Aeroangkasa, Sijil Operasi Pemesinan Aeroangkasa, Sijil Pemesinan CNC Aeroangkasa, Sijil Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat (Enjin Turbin Kapal Terbang dan Helikopter) serta Sijil Kejuruteraan Penyelenggaraan Avionik.
“Dalam usaha melengkapkan ekosistem latihan, Kolej Universiti i-CATS akan menawarkan program akademik di peringkat Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), yang memberi peluang kepada graduan CENTEXS untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan aeroangkasa,” jelasnya.
Mengulas mengenai sebahagian inisiatif tahun lalu, beliau memberitahu CENTEXS turut memainkan peranan penting dalam pembangunan tenaga hijau menerusi program latihan di Kota Petra Green Technology Park (KPGTP).
“CENTEXS menjadi penyedia latihan utama di KPGTP dengan menawarkan program latihan kompetensi industri dalam bidang pusat data, tenaga solar, pertanian teknologi tinggi, farmaseutikal, industri angkasa serta sektor hijau lain,” jelasnya.
Sementara bagi memastikan tenaga kerja tempatan mendapat latihan praktikal yang diperlukan industri, beliau berkata CENTEXS menyediakan enam kampus di seluruh Sarawak iaitu di Kuching, Lundu, Betong, Mukah, Dalat dan Lawas.
“Kapasiti maksimum setiap kampus bergantung kepada kemudahan bilik darjah, makmal dan asrama yang disediakan.
“Misalnya kampus Kuching mampu menampung seramai 676 pelajar, Mukah 600 pelajar, Lundu 340 pelajar, Lawas 300 pelajar dan kampus sementara di Betong boleh menampung 177 pelajar,” ujarnya.
Bagaimanapun jelasnya, kapasiti pelajar boleh ditingkatkan sebanyak 20 hingga 30 peratus sekiranya kemudahan pengangkutan percuma disediakan untuk pelajar berulang-alik ke kampus setiap hari, khususnya di Lundu, Mukah, Betong, Lawas dan Dalat yang mempunyai kekangan tempat penginapan.
Beliau turut menegaskan, CENTEXS akan terus memperkukuh visinya sebagai pusat kecemerlangan teknologi yang menyediakan latihan kemahiran teknikal untuk keperluan industri masa kini dan masa depan berlandaskan empat pemacu utama, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.



