Sarawak (AKYBMS) Datuk Dr Sanib Said yang terlibat dengan penyelidikan dan kajian sejarah Sarawak berkata, sejarah Santubong bermula di Kuala Santubong.
“Berdirinya sebuah negeri di Kuala Santubong bermula dengan pengembaraan Raden Adipati Sari – anak raja dari Pulau Jawa.
“Kisah pengembaraan Datu Marapati bermula dari Kepulauan Jawa dan baginda berlayar di Samudera Raya menuju Tanjung Datu di Teluk Gadur dan akhirnya membuka kerajaan agung di Kuala Santubong atau dikenali sebagai negeri Santubong.
“Selepas perkahwinannya, baginda dan permaisuri berlayar dan akhirnya sampai ke Tanjung Datu, baginda menukarkan namanya kepada Datu Marapati,” katanya.
Menurut Dr Sanib, beliau didatangi seseorang yang menyerah naskhah manuskrip kuno dalam bentuk syair tentang negeri Santubong.
“Sebuah manuskrip tentang negeri Santubong berbentuk sebuah syair ini ditulis pada 1885.
“Ia merupakan manuskrip yang agak tua, cerita sejarah negeri Santubong ini boleh dipertanggungjawabkan, manuskrip ini juga menjelaskan tentang nama Marapati,” jelasnya.
Menurut Dr Sanib tulisan Jawi yang tercatat dalam manuskrip syair negeri Santubong merupakan aksara klasik yang tidak mempunyai tanda wacana iaitu baris dan titik berdasarkan ejaan jawi yang diperkenalkan Pendeta Za’ba.
Dalam manuskrip tulisan jawi Melayu ini katanya, ejaan yang sangat jelas menunjukkan huruf mim, ra, pa, ta, ya yang merujuk kepada “marapati” dan bukan “merpati” seperti biasa dikenali di negeri Sarawak.
“Setelah saya mengkaji nama ini berdasarkan penyelidikan saya di Sumatera dalam bahasa Sanskrit, mara bererti bahaya dan pati bermaksud Raja, inilah erti nama “marapati” kemudian putera baginda bernama Marapati Jipang, Jipang yang merupakan negeri di Pulau Jawa.
“Inilah asal usul raja negeri Santubong, daripada penyelidikan saya dalam masyarakat Melayu.
“Bong itu berasal daripada perkataan ruang dan ertinya terdapat satu ruang di dalam sebuah gunung, maka jadilah nama Santubong.
“Di samping itu juga terdapat dalam catatan China terdapat sebuah tempat bernama San Hu Cong, dalam catatan penggembara China itu, ia merujuk kepada gunung lautan batu karang,” katanya.



