KUCHING: Tiga tekong kapal masing-masing dijatuhi hukuman RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan menceroboh perairan negara,14 November lalu.
Dedi Yanto, 39, Sutas Rif, 32, dan Kadrino, 32, masing-masing mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan tiga hakim iaitu Afidah Abdul Rahman, Iris Awen Jon dan Musli Abdul Hamid.
Iris memerintahkan Dedi Yanto dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal menjelaskan denda. Manakala di mahkamah lain Sutas dan Kadrino diperintahkan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, mereka didakwa gagal memaklumkan kepada pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris tentang nama, bendera, lokasi, jumlah ikan yang dibawa, jalan dan destinasi serta keadaan bot yang memasuki perairan Malaysia.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 dibacakan bersama Subseksyen 24 Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Perenggan 25(a) Akta Perikanan 1985.
Selain itu, atas tiga pertuduhan yang sama enam lagi kru kapal masing-masing berusia 22 tahun hingga 43 tahun dijatuhi hukuman denda atau penjara.
Hakim Afidah menjatuhkan hukuman denda RM100,000 atau enam bulan penjara bagi dua orang kru kapal di bawah tekong Sutas Rif. Manakala, Iris Awen menjatuhkan hukuman denda RM200,000 atau penjara lima bulan bagi dua kru kapal dibawah tekong Dedi Yanto.
Manakala, Musli menjatuhkan hukuman denda RM100,000 atau penjara empat bulan untuk dua kru kapal di bawah tekong Kadrino.
Mengikut kesemua pertuduhan, ketiga-tiga tekong itu bersama awak-awaknya melakukan kesalahan terbabit di 99.2 batu nautika, 98.6 batu nautika dan 101.7 batu nautika dari Tanjung Payong, Sarawak, antara jam 6 pagi hingga 9 pagi, 14 November lalu.
Mahkamah turut memerintahkan kapal yang digunakan dan segala peralatan menangkap ikan dilucut hak dan dihapuskan.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, sepasukan Penguatkuasa Maritim menjalankan operasi Op Permai, Op Tiris dan Op Kuda Laut melihat tiga bot mencurigakan memasuki perairan Malaysia lalu menghampiri kapal berkenaan.
Kesemua bot terbabit lalu ditahan dan diiringi ke jeti APMM Kuching untuk siasatan lanjut dan laporan polis dilakukan berkaitan penangkapan terbabit.
Barang-barang turut dirampas seperti tiga buah bot, peta GPS, kompas, radio, enjin marin, tiga unit bateri, tiga unit solar, bakul rawai, ikan pelbagai jenis seberat 90 kilogram dan tangki minyak kapal.
Hasil siasatan berdasarkan laporan Jabatan Perikanan Malaysia mengesahkan ketiga-tiga bot menangkap ikan itu tiada dalam rekod dalam Kapal Perikanan Malaysia selain gagal memberitahu mana-mana pegawai yang diberikan kuasa mengenai kemasukan ke perairan Malaysia.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Azham Marwan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.



