ARTIKEL

Cetak wang di padang bola

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEKITAR Jun lalu bintang penyerang ternama, Karim Benzema, 35, yang digelar ‘mesin jaringan’ meninggalkan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, garagara tawaran “tidak masuk akal” kelab Arab Saudi, Al-Ittihad, hampir RM1 bilion setahun.

Perbezaan gaji yang sangat ketara, di samping faktor usia, menyebabkan penyerang Perancis beragama Islam yang berasal dari Algeria itu tidak berfikir dua kali, untuk menandatangani kontrak lumayan, selama tiga musim (tiga tahun). Tawaran sedemikian hanya datang sekali seumur hidup.

Di Real Madrid, Benzema meraih gaji sekitar RM9.9 juta sebulan, atau RM119.7 juta setahun.

Namun AlIttihad menawarkan gaji berlipat kali ganda, sekitar RM82 juta sebulan, dan RM985 juta setahun. Ia bermakna, setiap nafas Benzema bernilai RM31 (jumlah gaji sesaat), RM1,898 seminit, RM113,888 sejam, dan menjangkau RM2.7 juta sehari.

Beliau kini bergelar jutawan terbilang, hampir sebaris dua mega star, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi. Ia bagaikan mencetak wang di padang bola.

Sayang sekali Messi menolak tawaran kelab Al Hilal, dengan ganjaran RM2 bilion, sebaliknya beliau memilih kelab Amerika Syarikat, Inter Miami, milik bekas kapten England, David Beckham, dengan habuan sekitar RM800 juta semusim.

Faktor kewangan yang sangat kukuh, di samping demi prestij, pemilik kelab sanggup mengeluarkan “cek kosong” untuk mendapatkan pemain bintang idaman.

Kebiasaannya pemain berstatus bintang ternama yang sudah pun berada di penghujung usia menjadi buruan, kerana lebih mudah dirunding, berbanding bintang muda, yang lebih memilih kelab besar Eropah, demi kerjaya jangka panjang. Bagi pemain berusia, tiada lagi yang hendak dikejar, kerana segala gelaran, trofi dan pingat sudah pun tersimpan rapi di dalam almari.

Jadi sebelum menutup ‘pintu karier’, adalah wajar untuk mereka mengaut wang sebanyak mungkin, sebagai aset tambahan selepas bersara, yang mampu menampung hidup sehingga tujuh keturunan.

Kebiasaannya mereka akan ditawarkan kontrak semusim hingga tiga musim, kecuali pihak pengurusan kelab bersetuju untuk melanjutkan kontrak hingga lima musim, mungkin sebagai penasihat kelab atau peneraju akademi.

Yang pasti, Ronaldo dan Messi mempunyai kekayaan luar biasa, sekitar RM5 hingga RM7 bilion, termasuk pendapatan sampingan daripada periklanan.

Namun bintang bola sepak terkaya di dunia sekarang ini milik pemain dari Brunei, Faiq Bolkiah, yang mempunyai nilai bersih kekayaan mencecah RM111 bilion. Anak saudara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah itu menghabiskan lebih sedekad dalam akademi bola sepak Inggeris, dengan pengalaman di Southampton, Chelsea dan Leicester.

Dilahirkan di Los Angeles, Amerika Syarikat, Faiq mendapat pendidikan di England dan mula menceburi sukan bola sepak selepas menyertai Southampton ketika berusia 11 tahun. Faiq menyarung jersi kelab Chonburi FC di Thailand pada 2021 dan meninggalkan kelab itu selepas menjaringkan dua gol dalam 29 perlawanan.

Bukan sahaja pemain, tetapi jurulatih turut mendapat habuan besar, apabila menyertai kelab ternama mahupun kelab yang mempunyai kewangan kukuh.

Misalnya, bekas jurulatih Manchester United dan Chelsea, Jose Mourinho menerima gaji RM51 juta setahun, iaitu RM4.2 juta sebulan. Malah beliau turut ditawarkan untuk melatih pasukan kebangsaan Arab Saudi dengan ganjaran RM558 juta setahun, bersamaan RM49 juta sebulan.

Bagaimana pula di Malaysia? Sejak memasuki era profesional, segelintir pemain tempatan menerima habuan lumayan, walaupun tidak sebesar bintang Eropah. Misalnya pada 2015, sekitar 10 pemain kebangsaan meraih gaji tinggi, dalam konteks tempatan.

Bekas penyerang Sarawak, yang juga bekas penggempur Harimau Malaya, Safee Sali misalnya, meraih RM120,000 sebulan bersama kelab popular Indonesia, Pelita Jaya. Penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (RM100,000) bersama Kelantan, Amri Yahyah (RM85,000) bersama JDT, Norshahrul Idlan Talaha (RM80,000) bersama Terengganu, Indra Putra Mahyuddin (RM75,000) bersama Felta United, Baddrol Bakhtiar (RM65,000) bersama Kedah, Safiq Rahim (RM50,000) borsama JDT, Badhri Razi (RM50,000) bersama Kelantan, Aidil Zafuan (RM50,000) bersama JDT dan Norfarhan (RM40,000) bersama Kelantan.

Manakala gaji pemain import di Malaysia sekitar RM46,000 hingga RM270,000 sebulan. Misalnya Dickson Nwakaeme meraih RM160,000 sebulan bersama pasukan Pahang, Liridon Krasniqi yang meraih RM147,000 bersama pasukan Kedah pada 2018. Bintang import JDT, Patrico Rodriguez meraih RM250,000 bersama JDT.

Yang pasti, gaji pemain tempatan di Malaysia berlegar sekitar RM10,000 hingga RM80,000. Dan ia merudum sebaik negara dilanda pandemik COVID-19 hingga kini, menyebabkan kebanyakan kelab mengambil langkah drastik dengan “mengikat perut”, mengambil kira setiap sen yang dibelanjakan. Kerjaya pemain bola sepak di negara membangun tidak selamanya menjanjikan detik manis dari segi gaji.

Oleh itu, terpulang kepada kebijaksanaan pemain untuk mengurus kewangan masingmasing, untuk masa kini dan masa depan. Salah seorang bekas pemain Sarawak, pada era pertengahan 90-an hingga awal tahun 2000 menjelaskan bahawa, pemain bola sepak mesti mengambil langkah berjimat cermat, ketika menerima ‘wang besar’ (gaji tinggi), sama seperti ketika menerima ‘wang kecil’ ketika awal pembabitan.

“Sampai bila anda akan bermain bola sepak negeri atau Malaysia… 10 tahun? Jika 10 tahun atau lebih sudah dikira cukup bagus, masa untuk anda mengumpul wang,” ujarnya. Tetapi bagaimana pula jika hanya dua tahun, atau kurang lima tahun… berapa yang anda dapat kumpul?

Kita bukan pemain di kelab Eropah atau Arab, yang gaji mereka sangat tinggi,” soalnya.

Menurutnya, jika tidak bijak mengurus, wang yang banyak akan habis dalam sekelip mata, tanpa disedari.

Yang pasti, gaji pemain juga harus dibayar tepat pada masanya, agar tidak menjejaskan pendapatan pemain, apatah lagi era profesional sekarang ini, bahawa seseorang pemain bergantung sepenuhnya terhadap bola sepak.

Oleh itu, adalah langkah bijak apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil langkah drastik, dengan menghukum persatuan atau kelab yang gagal menunaikan tanggungjawab, seperti yang sering berlaku saban tahun. Jika diambil kira beberapa faktor, adalah wajar pemain profesional di Malaysia menerima gaji lumayan, kerana ia adalah kerjaya jangka pendek yang sukar dijangka.

Segalanya lesap sebaik meninggalkan aksi di padang bola. Berapa ramai pemain profesional, yang mengambil lesen kejurulatihan selepas bersara?

Bagi yang bernasib baik dan mempunyai lesen, boleh meneruskan kerjaya sebagai ketua jurulatih atau penolong jurulatih, atau sekurang-kurangnya staf jurulatih untuk beberapa tahun lagi, menyambung tugas selepas bermain. Bagaimana pula yang tidak mempunyai lesen, terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menyara keluarga.

Seorang lagi bekas pemain Sarawak menyatakan bahawa, gaji pemain bola sepak ketika pasukan melonjak, cukup tinggi… namun jauh lebih kecil, apabila berhenti bermain.

“Saya pernah mengecapi gaji sekitar RM17,000 sebulan, sebagai pemain… namun hanya menerima gaji sekitar RM3,500 sebagai pekerja biasa dalam sebuah organisasi korporat. Pada permulaan sukar untuk menyesuaikan diri, tetapi itulah hakikat pemain bola sepak,” ujarnya.

Atas faktor inilah, kebanyakan ibu bapa tidak menggalakkan anakanak mereka untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Namun tidak semua, masih ada ibu bapa yang memberi galakan lebih-lebih lagi anak yang berbakat besar, dan pada masa yang sama agak kurang berminat dalam akademik.

Realitinya pemain bola sepak profesional tempatan kita mesti mempersiapkan diri, sebagai langkah berjaga-jaga, untuk menghadapi masa depan yang serba kemungkinan sebaik menggantung but suatu hari nanti. Ia bukan sekadar tentang tabung simpanan, tetapi juga ilmu dan pengalaman dalam bidang lain, demi kelangsungan hidup.

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU