KUCHING: Kemudahan pengeluaran biojisim mikroalga, Chitose Carbon Capture Central yang terletak di Sejingkat kini secara rasmi beroperasi pada 4 April 2023.
Majlis perasmian pembukaan itu turut dihadiri oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko yang kemudian melawat tapak kemudahan Chitose Carbon Capture Central, di sini.
Ketika ditemui, Takashi berkata, beliau hadir untuk lawatan tapak serta diberi taklimat berkenaan kemudahan dan teknologi yang ada.
“Kemudahan itu disediakan oleh stesen janakuasa arang batu yang menghasilkan karbon dioksida (CO2) dan merupakan salah satu cabaran yang perlu kita hadapi dalam mewujudkan ekonomi hijau.
“Oleh itu, saya tidak sabar melihat cara mereka memerangkap CO2 dan menukarnya kepada tenaga hijau,” katanya.
Kumpulan Chitose dalam sidang akhbar pada 20 Mac lalu mengumumkan bahawa pembinaan kemudahan pengeluaran mikroalga seluas lima hektar yang dipanggil ‘Chitose Carbon Capture Central (C4)’ telah siap dan pengeluaran mikroalga dimulakan di Sarawak.
Selain itu, mereka juga merancang untuk mewujudkan pengeluaran mikroalga yang stabil, berterusan dan berskala besar.
Teknologi pengeluaran Chitose bertujuan untuk meneruskan pembangunan aplikasi melibatkan pelbagai bahan industri termasuk bahan api dan plastik.
Projek ini dibiayai oleh Pertubuhan Pembangunan Teknologi dan Tenaga Baharu (Nedo).
Chitose menyasarkan Pelepasan Karbon Sifar melalui pengeluaran mikroalga fotoautotropik dan melalui projek Matsuri, yang menyasarkan penubuhan industri berasaskan mikroalga menggantikan industri berasaskan petroleum.
Ia turut menyasarkan untuk membangunkan pelbagai produk yang digunakan dalam kehidupan seharian daripada mikroalga termasuk bahan api, plastik, makanan dan peralatan mandian dengan kerjasama rakan kongsi perniagaannya.



