TIDAK tahu apa yang bermain di “kotak fikir” Ahli Parlimen Stampin yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen ketika mahu Kerajaan Sarawak membatalkan hasrat membina lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang.
Minggu lalu, Chieng Jen yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak mahu Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi tumpuan kepada projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sedia ada.
Chieng Jen berkata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mendedahkan bahawa terdapat cadangan untuk projek pembesaran LTAK di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), dengan biayanya sekitar RM100 juta, dan ia dijangka meningkatkan kapasiti penumpang, daripada 5 juta setahun ketika ini kepada 8 juta orang, apabila siap kelak. Jelasnya lagi, pelan pembesaran ini akan meningkatkan kapasiti LTAK sebanyak 60 peratus.
Pun begitu, kelulusan akhir cadangan ini sebenarnya masih samar kerana ia perlu menunggu kepada ketersediaan dana serta hala tuju kerajaan negeri, yang kini sedang melakukan kajian kebolehlaksanaan LTAK baharu tersebut.
Ujar Chieng Jen, lebih baik Kerajaan Negeri mengambil pendekatan lebih praktikal dengan memberi tumpuan kepada pembesaran LTAK sedia ada yang dijangka boleh berkhidmat dengan berkesan untuk Kuching bagi tempoh 15 hingga 20 tahun, berbanding bina baharu di Tanjung Embang yang menelan kos RM10 bilion, seratus kali ganda lebih mahal.
Kerajaan GPS katanya, sudah pasti mahu meneruskan perancangan membina LTAK baharu, justeru tidak berhasrat memohon pembesaran lapangan terbang sedia ada. “Kita tahu Sarawak kaya.
Tetapi masih ada had kepada kekayaan kita. Kita tidak sepatutnya mengulangi kesilapan Kerajaan Persekutuan di bawah Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) pada lewat 80-an dan 90-an dengan perbelanjaan tanpa kawalan terhadap projek-projek mega, sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang sarat dengan hutang dan memaksa kita, generasi masa depan dari tahun 80-an dan 90-an, menanggung pembaziran mereka,” katanya.
Pada Januari lalu, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan cadangan membina lapangan terbang antarabangsa baharu Sarawak yang canggih di Tanjung Embang berdekatan pelabuhan laut dalam yang juga dirancang dibangunkan di kawasan berkenaan.
Lapangan terbang ini berdasarkan visi Abang Johari akan dibina indah, gah dan menggunakan teknologi terkini; menggabungkan model lapangan terbang antarabangsa Doha dan Abu Dhabi antara yang terbaik di dunia.
Kerajaan Sarawak malah telah melantik Netherlands Airport Consultants sebagai perunding utama kajian kebolehlaksanaan projek ini, yang laporannya dijadualkan siap pada Februari tahun depan.
Bagi Chieng Jen, projek ini tetap pembaziran kerana hampir dua dekad selepas naik taraf LTAK sedia ada, lapangan terbang itu masih belum berjaya mendapatkan satu pun penerbangan jet jumbo berjadual tetap, yang menurutnya membuktikan landasan sedia ada masih tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Landasan LTAK sepanjang 3,780 meter, yang siap pada 2006 katanya, hanya sedikit lebih pendek daripada landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berukuran 4,000 meter, dan mampu menampung pesawat badan lebar seperti Boeing 747/777 serta Airbus A380-800 yang membawa sehingga 850 penumpang.
Ternyata Chieng Jen berkonflik dengan dirinya untuk mengakui projek ini amat baik, berpandangan jauh dan penting, sedangkan di sisi yang lain, bimbang jika projek ini berjaya, ia akan menenggelamkan kedudukan politik peribadi dan parti yang didukunginya.
Justeru beliau tidak ada pilihan kecuali membantah. Projek yang diumumkan oleh Abang Johari ini jelas perancangan jangka panjang, bertujuan untuk meningkatkan ekonomi Sarawak, setelah ia memiliki syarikat penerbangan sendiri, AirBorneo.
Untuk maklumat Cheng Jen, LTAK mula dibina oleh Kerajaan British pada 1940-an, dan telah menjadi gerbang ke Sarawak, Brunei dan Sabah. Lapangan terbang ini mampu mengendalikan 5 juta penumpang setahun, menjadikannya lapangan terbang keempat paling sibuk selepas KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Lapangan terbang ini juga menempatkan pangkalan udara bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dengan penumpang waktu puncak adalah sekitar 2,200 orang per jam.
LTAK memiliki 12 hentian pesawat selain 36 kaunter daftar masuk, 34 kaunter imigresen, enam kaunter kastam. Justeru fasiliti ini jelas tidak sesuai jika Sarawak, terutamanya melalui AirBorneo mahu menarik penerbangan langsung dari pelbagai negara luar.
Cheng Jen tidak perlu untuk berfikiran singkat, jika berpendapat lapangan terbang ini hanya memerlukan sedikit naik taraf.
Beliau harus memahami pandangan dan visi jauh Abang Johari, bukan setakat 20 tahun. Singapura, Doha, Abu Dhabi malah KLIA2 dikenali kerana lapangan terbangnya yang gah. Ia bagai sebuah bandar kecil yang menyambut tetamu sebelum berkunjung ke ibu kota.
Dalam konteks ini Kuching dan seluruh Sarawak. Sebagai pintu masuk, ia menuntut kepada fizikal yang cantik dan pengalaman perkhidmatan yang hebat dan menyelesakan.
Jika boleh dimungkinkan, di lapangan terbang tersebut, penggunaan kaunter akan diminimumkan bahkan drop bag akan berlaku secara pandu lalu.
Pemeriksaan kastam dan imigresen, malah daftar masuk akan berlaku secara digital.
Ini belum lagi termasuk kemudahan untuk beli belah, hotel, restoran, gedung beli-belah dan sebagainya, yang dapat menyelesakan tetamu yang hadir, mahupun yang sekadar melakukan transit.
Hentian pesawat atau aircraft parking bay serta pintu masuk pesawat pelbagai saiz yang banyak amat perlu bagi memenuhi keperluan penerbangan langsung. Ini sudah pasti berkali-kali ganda banyak, dan ia datang bukan sahaja daripada jenama AirBorneo, malah jenama penerbangan antarabangsa lain, selepas syarikat penerbangan Sarawak itu mula membina hubungan.
Dengan pelbagai kemudahan, sudah pasti lapangan terbang ini akan menjadi hab persinggahan menarik untuk rantau ini, dan menjadi pilihan untuk masuk ke Borneo.
Pelaburan RM10 bilion, termasuk daripada pihak swasta sudah pasti berbaloi jika perkara ini diambil kira.
Jika Cheng Jen berkunjung ke negeri jiran Sabah, ketika ini mereka menerima ramai pelancong dari China, Jepun dan Korea Selatan lewat penerbangan langsung yang diterima.
Malah lapangan terbangnya juga cukup menarik, lebih meriah berbanding di Kuching.
Kesan penerbangan langsung ini, industri pelancongan di Sabah kini begitu semarak.
Ketika penulis berkunjung ke pusat bandar Kota Kinabalu minggu lalu, terutamanya di Sinsuran, peniaga di sana malah sudah petah berbahasa Korea dan kebanyakan poster di kedaikedai mereka ditulis dalam bahasa tersebut.
Usah ditanya jumlah pelancong yang ditemui, hampir setiap minit.
Justeru inilah kesan yang Sarawak impikan apabila lapangan terbang baharu ini dibina kelak.
Bukan hanya 8 juta orang setahun jika lapangan terbang sedia ada dinaik taraf.
Sebaliknya sekitar 15 juta atau lebih ketika lapangan terbang baharu ini menjadi realiti, apatah lagi dengan pelbagai aktiviti pelancongan yang dianjurkan.
Seperkara yang penting, lapangan terbang ini akan menjadi milik Sarawak, tidak seperti sekarang, yang difahamkan dimiliki oleh Khazanah Nasional.
Penerbangan merupakan aset penting Sarawak. Ia menjadi pintu masuk dan keluar dari pulau besar dan popular ini, dan ia juga menjadi pintu ekonomi.
Justeru jika Kerajaan Sarawak menguasainya, termasuk memastikan kemudahannya berstatus state-of-theart, sudah pasti ia memberikan impak besar bukan sahaja kepada rakyatnya, tetapi mereka yang berkunjung.
Pelancongan Sarawak akan meningkat berkali ganda, manakala pekerjaan akan bertambah, termasuk dalam sektor aviasi yang sebelum ini dikuasai oleh Kerajaan Pusat.
Abang Johari telah melakukan perancangan dan keputusan berani yang menongkah arus.
Tetapi ia tidak akan dilakukan jika ia sekadar idea tanpa perancangan teliti.
Dan beliau sudah pasti telah mengira akan untung ruginya seperti juga siapnya 16 jambatan mahal dan mustahil di seluruh negeri serta pembinaan aliran transit autonomous (ART) yang kini sedang rancak. Adakah ia merugikan?
Kepada Cheng Jen, usahlah semua perkara dibangkang. Kerana jika Sarawak tidak membina lapangan terbang itu hari ini, kosnya mungkin berpuluh kali ganda pada tahun-tahun akan datang.
Bukan sahaja kerana kos peralatan dan teknologi, tetapi kerana kos tanah.
Sekurang-kurangnya politik yang stabil membenarkan “taraf” dan “status” Sarawak dinaikkan melalui projek mega ini. Kebetulan kerajaan memiliki kewangan yang baik (kaya, mengikut Cheng Jen), justeru biarlah ia digunakan untuk perkara yang bermanfaat dan nampak.
Oh ya, semua projek mega di Sarawak telah siap sepenuhnya menjelang tahun depan, justeru biarlah LTAK baharu ini menjadi mercu tanda baharu, untuk sekurang-kurangnya tiga tahun akan datang.
Dan anda juga yang akan tersenyum apabila menggunakan kemudahan yang tersedia nanti.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.



